Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bergambar bersama penerima anugerah dan ibu bapa pada majlis Anugerah Tunas Inspirasi MAIM di Kompleks Falak Al-khawarizmi sempena program WRUR DUN Tanjung Bidara, Melaka hari ini.

MELAKA – Kerajaan Melaka memberi jaminan tidak akan membiarkan pelajar negeri berkenaan bersendirian dalam menggapai kecemerlangan pendidikan.

Tegas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian serius kepada pelajar terutama yang gigih mahu mengubah masa depan.

“Kerajaan negeri tidak akan berhenti memberi ruang dan pengiktirafan kepada mereka yang berusaha.

“Ada usaha, kita beri pengiktirafan, ada potensi, kita buka peluang dan apabila ada anak-anak yang mahu mengubah nasib, kerajaan negeri tidak akan membiarkan mereka berjalan sendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika berucap pada majlis Anugerah Tunas Inspirasi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Kompleks Falak Al-khawarizmi sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini hari ini.

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima pelajar cemerlang pada majlis Anugerah Tunas Inspirasi MAIM di Kompleks Falak Al-khawarizmi sempena program WRUR DUN Tanjung Bidara, Melaka hari ini.

Seramai 89 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menerina anugerah pada majlis itu.

Menurut Ab Rauf, kerajaan negeri menyedari generasi muda bakal berdepan dengan pasaran kerjaya yang amat mencabar pada masa depan.

Justeru, tegasnya, pendidikan adalah ‘senjata’ utama kepada golongan berkenaan untuk berdepan sebarang cabaran mendatang.

“Kita mahu anak-anak Melaka bukan sahaja pintar di dalam bilik darjah tetapi bijaksana membuat keputusan, teguh pendirian dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat khususnya ketika dunia berdepan ledakan digital, kecerdasan buatan (AI) dan evolusi pasaran kerjaya,” katanya.

Sehubungan itu, ujarnya, dalam mengejar kemajuan pembangunan, pendidikan tetap menjadi keutamaan bagi melahirkan generasi muda yang teguh jati diri.

Tiga pelajar penerima anugerah sempat bergambar bersama Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyampaikan selepas majlis Anugerah Tunas Inspirasi MAIM di Kompleks Falak Al-khawarizmi sempena program WRUR DUN Tanjung Bidara, Melaka hari ini.

Katanya, pendidikan juga adalah kunci paling ampuh untuk memecahkan belenggu kemiskinan dan kehidupan.

“Pendidikan bukan sekadar mengejar deretan A dalam peperiksaan sebaliknya pendidikan mesti membentuk akal yang tajam, jiwa yang kukuh, akhlak yang luhur dan keberanian menghadapi dunia yang semakin mencabar,” tambahnya. – MalaysiaGazzette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here