KUALA LUMPUR – Lebih 100 peniaga Pasar Malam AU2 di sini berada dalam dilema ekoran tempat perniagaan mereka perlu ditutup akhir bulan ini dan akan dipindahkan ke lokasi lain.
Rata-rata mereka tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana mendakwa lokasi baharu tidak sesuai kerana bertembung dengan satu lagi pasar di tempat, tarikh dan waktu sama iaitu setiap hari Sabtu.
Seorang peniaga, Siti Rokiah Ismail, 56, berkata, senario itu menyebabkan peniaga terpaksa bersaing sesama sendiri selain kehilangan pelanggan setia di Pasar Malam AU2 yang beroperasi lebih 30 tahun.
Justeru, peniaga keropok lekor dan rakan-rakan peniaga memohon Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertimbangkan rayuan mereka yang sedia berpindah namun mahu lokasi baharu yang telah dicadangkan Badan Bertindak Peniaga di situ.
“Kami diarahkan berpindah sejak awal tahun lagi kerana dipaksa untuk ditutup oleh pihak DBKL bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.
“Kami sudah pergi berbincang dengan DBKL tetapi keputusan tetap dibuat dengan arahan dipindahkan dan dipaksa untuk menerima tawaran lokasi baharu yang tidak sesuai.
“Kami telah berniaga di sini selama lebih 30 tahun dan yang menyedihkan, tiada pihak yang ingin membantu peniaga-peniaga Melayu ini yang terjejas seramai lebih 300 peniaga.
“Kami hanya berjuang sendirian tanpa kehadiran wakil rakyat kawasan,” katanya sudah meniaga lebih 20 tahun di situ pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Fadzilah Kamaluddin.
Mengulas lanjut, Siti Rokiah berkata, dia dan rakan-rakan peniaga berharap Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad agar
datang bertemu dan mendengar luahan mereka.
Tegas beliau, pihaknya tidak mahu berbincang dengan wakil yang dihantar kerana mereka mengundi Nik Nazmi sebagai wakil rakyat.
“Kami bukan undi wakil yang dihantar dan apakah kerana kami ini hanya peniaga pasar malam tidak layak untuk berjumpa beliau?” soalnya.
Seorang lagi peniaga nasi campur, Bahrin Abdul Rahman, 62, berkata, Pasar Malam AU2 itu banyak berjasa kepada peniaga kerana kewujudannya membolehkan mereka menyara anak-anak hingga ke menara gading.
Kata beliau lagi, pihaknya peniaga sedia merunding sehingga mahu mengurangkan jumlah peniaga yang beroperasi agar tapak lokasi itu dapat dikekalkan.
“Kami meniaga hanya hari Sabtu dan seminggu sekali bermula pukul 4 petang hingga 10 malam. Lagi pun mana ada kerja-kerja pembinaan pada hari Sabtu?
“Kami sedia berkorban dengan mengurangkan jumlah peniaga tapi masih tidak layan oleh pihak berkuasa dan pemaju,” katanya.
Sementara itu, Nurul Fadzilah berkata, golongan peniaga itu sedia ditempatkan di lokasi baharu berdekatan walaupun sudah beroperasi lebih 30 tahun dan mempunyai ramai pelanggan setia.
Namun kata beliau, lokasi baharu yang dicadangkan itu menyebabkan berlaku persaingan sengit dalam kalangan mereka kerana terdapat dua lagi pasar malam di sana.
“Apa yang kami kesalkan, isu peniaga ini sudah berlarutan hampir setahun dan wakil rakyat di sini langsung tidak datang mendengar luahan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
LIVE
Calon PRN 2023
TUGAS DAN FUNGSI ADUN
Oleh saiful – Sel, Jan 24, 2023 @12:22 tengahari
Ramai yang menganggap peranan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kurang signifikan berbanding fungsi seorang Ahli Parlimen walaupun kedua-dua mereka mempunyai tanggungjawab yang sama.
Di Malaysia, pilihan raya negeri diadakan setiap lima tahun sekali untuk memilih perwakilan baru bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
DUN diberi kuasa untuk menggubal undang-undang bagi perkara-perkara yang tersenarai dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama, contohnya seperti hal ehwal tanah, pertanian, perhutanan dan kebajikan sosial, bagi negeri masing-masing.
Maka, ADUN mempunyai tanggungjawab untuk membahaskan dan meluluskan rang undang-undang atau untuk mencadangkan pindaan bagi undang-undang sedia ada. Sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah ADUN di sesebuah negeri perlu hadir untuk memenuhi korum agar DUN boleh bersidang.
Seperti Parlimen, DUN juga bertanggungjawab untuk meluluskan belanjawan negeri yang dibentangkan oleh kerajaan negeri setiap tahun. Tuntasnya, peranan seorang ADUN di peringkat negeri hampir sama dengan peranan seorang Ahli Parlimen di peringkat nasional.
Seperti Parlimen, DUN juga akan kekal selama lima tahun selepas pilihan raya negeri sekiranya tidak dibubarkan lebih awal. Selepas pembubaran DUN, pilihan raya negeri perlu berlangsung dalam tempoh 60 hari dan mana-mana parti atau gabungan politik yang memenangi lebih separuh daripada kerusi DUN akan menerajui kerajaan negeri yang baharu.
BOLEHKAH SEORANG ADUN JUGA BERKHIDMAT SEBAGAI AHLI PARLIMEN?
Ya, seseorang individu boleh memegang jawatan ADUN dan Ahli Parlimen pada masa yang sama. Malah, Ahli Parlimen yang dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri juga dibenarkan untuk mengekalkan kerusi DUN mereka.
Walau bagaimanapun, menurut Perkara 57(4) Perlembagaan Persekutuan, seorang ADUN perlu melepaskan kerusi DUN beliau sekiranya dia dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat.
BOLEHKAH ADUN HILANG JAWATAN JIKA LOMPAT PARTI?
Setakat ini, Akta Anti Lompat Parti atau Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan menetapkan yang hanya ahli-ahli Parlimen yang melompat parti akan hilang kerusi Parlimen mereka.
Tetapi, negeri-negeri lain perlu bersetuju secara sukarela untuk melaksanakan undang-undang yang sama setelah mendapat perkenan Sultan atau persetujuan Yang di-Pertua Negeri masing-masing.
Setakat Disember 2022, hanya tujuh negeri, iaitu Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Negri Sembilan, Sabah dan Sarawak yang telah berbuat demikian. Justeru, ADUN yang melompat parti di negeri-negeri ini akan dilucutkan jawatan secara automatik.
Tetapi, ADUN di negeri-negeri lain masih bebas untuk melompat parti.
SIAPA YANG MENYELESAIKAN ISU-ISU DI KAWASAN KEJIRANAN SAYA – ADUN ATAU AHLI PARLIMEN?
Tugas tersebut sebenarnya dilaksanakan oleh kerajaan tempatan. Sebenarnya, Malaysia mempunyai tiga jenis kerajaan, iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.
Tetapi, setelah Malaysia memansuhkan pilihan raya bagi kerajaan tempatan pada tahun 1960-an, ahli-ahli kerajaan tempatan (atau majlis perbandaran) dilantik oleh kerajaan negeri. Merekalah yang bertanggungjawab memastikan pembersihan am dan pemungutan sampah secara sistematik di kawasan kejiranan anda. Justeru, kenalilah mereka.