ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkapkan dominasi saingan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut dengan membenam Penang FC, 8-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada perlawanan terakhir musim ini, malam tadi.
Skuad Harimau Selatan itu turut melakar sejarah menamatkan saingan liga tanpa kalah dengan meledak 100 gol dalam 26 perlawanan.
JDT menang kesemua 26 perlawanan liga musim ini kecuali ketika menentang Kedah Darul Aman FC yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3.
Kemenangan besar malam tadi melengkapkan sambutan ‘Decade Of Dominance’ yang diadakan sejurus tamat perlawanan bagi meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan itu.
JDT juga melakar sejarah selaku kelab bola sepak pertama yang menjuarai empat trofi (quadruple) dua musim berturut-turut (double quadruple) melibatkan Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
Aksi Liga Super semalam menyaksikan juara Piala Malaysia musim ini menggasak ke gawang lawan sebaik wisel permulaan ditiup.
Pemain terbaik final Piala Malaysia 2023, Arif Aiman Hanapi menjaringkan empat gol dengan melakar jaringan seawal minit ke-5 diikuti gol pada minit ke-47, 52, 90+6 (penalti).
Selepas gol pertama Skuad Harimau Selatan itu terus mengasak ke kubu skuad Harimau Kumbang menyaksikan Bergson da Silva menanduk masuk gol kedua pada minit ke-17.
Bergson kemudian melengkapkan sepakan penalti pada minit ke-32 untuk gol ketiga sebelum Akhyar Rashid meledak gol keempat pada minit ke-41.
Sebelum tamat babak pertama, JDT terus mengganas apabila menambah dua gol pada minit ke-42 dan ke-43 hasil jaringan Akhyar Rashid dan Heberty Fernandes de Andrade untuk selesa di hadapan dengan jaringan 5-0 bagi melengkap jaringan seterusnya. – MalaysiaGazette