LONDON – Seorang remaja Britain Alex Batty, yang ditemui di Perancis selepas hilang selama enam tahun telah kembali ke United Kingdom.
Polis Greater Manchester berkata, Alex, ibu dan datuknya hilang pada 2017 semasa mereka bercuti di Sepanyol.
Mereka sepatutnya bercuti selama dua minggu.
Keberadaan ibunya masih tidak diketahui sehingga hari ini.
Polis masih belum menentukan sama ada kes ini akan melibatkan siasatan jenayah.
Alex ditemui pada hari Rabu oleh seorang pemandu, yang melihatnya di jalan raya di kaki bukit Pyrenees Perancis, berhampiran Toulouse.
Bercakap pada sidang akhbar pada malam Sabtu, pegawai polis, Matt Boyle berkata, Alex ditemui di lapangan terbang Toulouse oleh ahli keluarga dan lebih awal, sebelum terbang pulang ke UK.
“Momen ini sudah pasti sangat bermakna untuk dia dan orang tersayangnya dan kami gembira kerana mereka dapat berjumpa lagi selepas sekian lama,” katanya.
Polis masih belum mendapat kenyataan rasmi daripada Alex tentang butiran yang didedahkan oleh pihak berkuasa Perancis tentang kehilangannya selama ini.
Alex dipercayai telah menjalani gaya hidup nomad bersama ibu dan datuknya sejak beberapa tahun lalu.
Melanie dan David Batty meninggalkan Greater Manchester bersama Alex untuk percutian selama seminggu yang telah dipersetujui ke Marbella di Sepanyol pada 30 September 2017.
Dia kali terakhir dilihat di Pelabuhan Malaga pada 8 Oktober tahun itu, hari mereka dijangka pulang ke UK.
Difahamkan, Alex telah tinggal di Lembah Pyrenean yang terpencil, mengembara dari satu tempat ke satu tempat.
Kawasan di kaki bukit Pyrenees terkenal dengan tarikan orang ramai untuk mencari gaya hidup alternatif.
Alex akan diserahkan kepada neneknya, Susan Caruana, yang mendapat hak penjagaan kanak-kanak itu daripada mahkamah. – Agensi