Gambar hiasan

SEJAK kebelakangan ini, kita sering mendengar ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa scammer. Ada di antara mereka telah kehilangan wang puluhan hingga ratusan ribu ringgit. Kehilangan wang simpanan berlaku hanya dalam sekelip mata sahaja. Ia telah memberi kesan yang mendalam kepada mangsa-mangsa scammer tersebut. Sebahagian daripada mereka telah terlibat dalam pelaburan yang mana mereka telah dijanjikan dengan keuntungan yang sangat besar sehingga kadang-kadang tidak masuk akal. Namun mereka tetap terpedaya. Ada juga yang terpedaya ketika hendak membeli sesuatu barangan akhirnya wang dalam akaun lesap sejurus selepas memberi maklumat kepada pihak scammer. Apa yang lebih memberi kesan lagi adalah wang simpanan mereka yang dikumpul bertahun-tahun lamanya, ghaib begitu sahaja dek kerana kecuaian dan nafsu keinginan untuk cepat kaya.

Begitulah hakikatnya keadaan yang sedang berlaku terutamanya di negara kita dan kita harus akui kehidupan sebegini pada zaman berarus teknologi moden dan serba canggih ini. Pelbagai jenayah siber berlaku di sana-sini termasuklah kebocoran data peribadi dan akitiviti-aktiviti scam seumpamanya. Boleh dikatakan kes penipuan ini berlaku setiap hari walaupun pihak kerajaan selalu menekankan soal keselamatan data peribadi daripada
bocor dan diketahui oleh pihak ketiga. Malangnya masih ramai lagi menjadi mangsa scammer. Untuk mengelak daripada terpedaya dengan pihak scammer selain daripada berhati-hati dengan setiap panggilan yang diterima atau pautan yang diperoleh, kita mestilah berfikir dengan minda yang waras dan sihat.

Sebelum membuat keputusan sama ada untuk menerima atau menolak sesuatu tawaran, kita mestilah menyoal diri kita adakah perlu aku terima tawaran ini? Adakah aku perlu sertai pelaburan ini? Adakah selamat atau terdedah kepada kebocoran data peribadi jika aku menekan pautan yang diberi ini? Adakah ini aktiviti licik scammer? Soalan-soalan ini yang mesti kita fikirkan sebelum membuat sebarang keputusan. Tetapi jika sekiranya kita telah menjadi mangsa pihak scammer, apa yang kita dapat pelajari daripada musibah ini? Mungkin inilah masanya untuk kita sama-sama merenung dan kembali kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Setiap ujian dan musibah ini adalah dari Allah dan ia menjadi salah satu peringatan kepada kita semua. Sesungguhnya kita juga mesti meyakini bahawa setiap manusia terutamanya kaum Muslim, rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Setiap kurniaan itu adalah rezeki sama ada sedikit atau banyak. Dan rezeki itu meliputi segala pemberian Allah SWT. Al-Imam Ghazali r.h mengatakan bahawa definisi rezeki adalah setiap pemberian Allah SWT kepada kita sama ada kita suka atau tidak. Contohnya sihat itu rezeki dan sakit itu juga rezeki. Mendapat kekayaan dari hasil pelaburan adalah rezeki, mendapat kerugian daripada pelaburan juga adalah rezeki. Adakah benar? Mungkin ada betulnya apa yang dikatakan oleh beliau. Kenapa sakit dan kerugian itu adalah suatu rezeki?

Sepatutnya dengan sakit itu akan menjadikan kita seorang yang lebih baik dan sentiasa mengingati Allah. Kerugian harta benda pula sepatutnya akan menginsafkan diri kita dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Maka jelaslah di sini bahawa ini semua adalah suatu rezeki yang sangat besar kepada kita semua. Selain itu juga, kita diajar untuk menjaga keselamatan diri serta menjaga harta benda selain daripada menjaga agama, menjaga akal dan menjaga keturunan kerana ia adalah sebahagian daripada Maqasid Syariah dalam agama Islam seperti yang telah dijelaskan oleh al-Imam asy-Syatibi dalam kitab beliau al-Muwafaqat fi Usul as-Syari’ah tentang gagasan ilmu Maqasid Syariah.

Tambahan juga Islam melarang kita supaya tidak mendedahkan diri dan keselamatan kepada bahaya dan kebinasaan seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Meskipun ayat ini menjelaskan tentang isu infaq dan sifat kebakhilan, namun kita dapat kaitkan di sini bahawa mungkin kerana kebakhilan kita untuk berinfaq dan kerana kecintaan kita yang melampau kepada dunia ingin mengumpulkan harta yang banyak tanpa memikirkan soal sedekah dan infak.

Seolah-olah ia menggambarkan bahawa kita sebenarnya sengaja mencampakkan diri kepada kebinasaan. Bahkan Allah SWT turut mencela mereka yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya kerana merasakan hartanya akan kekal seperti dalam surah al-Humazah ayat 1 hingga 3. Justeru, dengan musibah yang menimpa kita, menjadi mangsa scammer contohnya, kita mestilah melihat dari sudut positif yang mana kita menganggapkan apa yang telah terjadi itu adalah satu teguran dan peringatan daripada Allah SWT kepada kita. Perlu untuk kita terapkan pada diri kita bahawa setiap masalah, musibah dan bala yang ditimpa itu pasti ada sebab musababnya. Soallah diri kita selalu setelah dilanda ujian, apakah kesalahan yang aku lakukan? Adakah aku berbuat maksiat? Apakah kesilapan aku terhadap Allah SWT atau orang lain? Dengan cara begini kita dapat bermuhasabah diri kita dan berusaha untuk menjadi seorang yang lebih baik serta mencari jalan terbaik dan berkat.

Daripada hal ini, dapatlah kita pelajari bahawa kita sebenarnya harus menjadi seorang insan yang bersyukur dan bukanlah seorang yang tamak haloba. Kita selalu mendengar kata-kata bahawa orang tamak selalunya rugi. Jelas sekali ia telah berlaku dan akan terus berlaku kepada sesiapa sahaja yang bersifat tamak. Nabi SAW telah pun berpesan kepada kita supaya tidak tamak tetapi redha dan bersyukur dengan apa yang ada. Sabda baginda SAW: “Hiduplah di dunia dengan berzuhud maka kamu akan dicintai Allah, dan jangan tamak terhadap apa yang ada di tangan manusia, nescaya kamu akan disenangi manusia”. Jika kita bersyukur sebenarnya Allah SWT akan tambahkan lagi nikmat kepada kita seperti dalam firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7 maksudnya: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya! Jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Maka apa yang dapat dirumuskan adalah setiap manusia haruslah sedar bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Kita mestilah mendapatkan dengan jalan yang halal bukanlah dengan cara yang salah dan batil. Kepada para scammer hentikanlah amalan yang haram ini kerana jalan rezeki yang dicari dan diperoleh itu adalah jalan yang haram. Ingatkan firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6: “Wahai orang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka..”. Kepada orang ramai berwaspadalah agar tidak menjadi mangsa scammer, berhati-hatilah ketika bermuamalah dengan seseorang yang dikenali atau tidak sama ada untuk berjual beliatau menyertai apa-apa pelaburan. Pastikan setiap langkah yang dibuat adalah selamat dan
jangan tertipu. Rujuklah dengan orang yang lebih arif sekiranya kita kurang mahir dan tiada ilmu. Paling penting ialah jadilah orang yang sentiasa bersyukur dan reda dengan apa yang ada nescaya hidup kita akan tenang dan bahagia serta mendapat rahmat Allah SWT.

Abdul Hadi Abd Aziz
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast