PEKAN – Sama ada wujud atau tidak peruntukan undang-undang berkaitan memikat dan menggoda isteri orang, hukumnya tetap haram dalam Islam.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman menegaskan, sesiapa sahaja haram memikat isteri orang apatah lagi perbuatan itu menjurus kepada niat untuk meruntuhkan rumah tangga ditegah dalam agama.
Demikian reaksi beliau ketika ditanya reaksi pemansuhan Seksyen 498 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Pesekutuan pada 15 Disember lalu.
“Sepatutnya kalau keputusan tidak memansuhkan itu lebih baik sebab perkara menggoda isteri atau suami orang ini bukan berlaku pada zaman dulu sahaja bahkan zaman sekarang tetap ada.
“Akan tetapi lebih baik dan biarlah kita berpegang pada hukum Islam yang tetap mengharamkan perbuatan memikat isteri orang.
“Bahkan dalam hadis ada menekankan perkara mungkar berkenaan dan supaya menjauhi perbuatan itu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Perbuatan terkutuk seperti ini amat dimurkai oleh Rasulullah SAW yang turut disebut dalam sebuah hadis; “Bukan dalam golongan kami (umat Nabi Muhammad) orang yang merosakkan ikatan seseorang isteri dengan suaminya.”
Justeru Abdul Rahman menasihati semua pihak menjaga batas dalam pergaulan agar tidak terjerumus kepada perkara dalam kemaksiatan dan memilihara hubungan dengan Allah.
Terdahulu Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang berkaitan menjenayahkan perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang dimansuhkan kerana ia tidak berperlembagaan telah diputuskan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Ini berikutan panel hakim berpendapat seksyen itu adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina, yang bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Undang-undang tersebut ketika pada zaman kolonial itu sekaligus disifatkan sebagai suatu diskriminasi ke atas wanita. -MalaysiaGazette