Temubual Skop MG bersama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Haji Ahmad Maslan mengenai Pasca Belanjawan 2024 di Studio MG, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 OKTOBER 2023.

BANGI – Pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak perlu dilaksanakan kerana ia akan hanya mewujudkan jurang dan meruncingkan isu perkauman di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan, pilihan raya PBT sudah tentunya akan dimenangi satu kaum sahaja, iaitu masyarakat Cina kerana mereka tinggal di bandar.

Situasi itu pastinya akan mencetuskan kegusaran politik yang maksimum.

“Cukuplah ada pilihan raya umum dan pilihan raya negeri. Mengapa nak ada satu lagi pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas melawat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), hari ini.

Ahmad berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang mencadangkan supaya kerajaan memulakan pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Cadangan Kok Wai itu dikritik pelbagai pihak termasuk dari kalangan pemimpin UMNO yang menyifatkan ia berbaur provokasi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Wilayah Persekutuan sudah mempunyai Ahli Parlimen di kawasan masing-masing malah Kerajaan Perpaduan sudah meletakkan wilayah itu di bawah Jabatan di Perdana Menteri (JPM).

“Wilayah Persekutan sudah ada menteri penuh sebelum ini diuruskan oleh perdana menteri tetapi beliau banyak tugasan lain jadi kita sudah ada Dr Zaliha sebagai Menteri Persekutuan.

“Majlis Perbandaran kita ada Yang Dipertua Majlis dan kita ada ahli-ahli majlis perbandaran yang tentunya mewakili pelbagai kaum.

“Tapi kalau asa pilihan raya PBT hanya dimenangi oleh satu kaum, daripada pelbagai kaum kepada satu kaum sahaja.

“Saya kira DAP parti pelbagai kaum dan menyokong kepelbagaian kaum. Oleh itu pada pandangan saya tidak perlu, selaku ahli MKT UMNO tidak mahu bertambah runcing perkauman di negara kita,” katanya lagi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, fungsi PBT serta peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam mendepani isu bangunan strata di Wilayah Persekutuan perlu diberi keutamaan ketika ini berbanding cadangan untuk melaksana pilihan raya PBT.

Malah Zaliha berkata, perkara dasar seperti pelaksanaan pilihan raya PBT ini juga perlu kepada perbincangan lebih mendalam, membabitkan pelbagai pihak berkepentingan.

Untuk rekod, pilihan raya PBT di Malaysia digantung pelaksanaannya pada 1960-an dan diganti dengan sistem lantikan ketua, yang mana jawatan Datuk Bandar atau Yang Dipertua, termasuk Ahli Majlis PBT dilantik kerajaan negeri. – MalaysiaGazette