GEORGE TOWN – Tiga beranak terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas selepas kediaman mereka di tingkat 10 flat di Jalan Angsana Semarak Api 1, Ayer Itam di sini, terbakar malam tadi.
Mangsa yang terdiri daripada ibu serta dua anaknya yang masing-masing berusia antara 40 hingga 66 tahun itu diselamatkan orang awam sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd Zaini Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.59 malam.
Jelasnya, pihaknya bergegas ke lokasi dengan dibantu anggota dari BBP Jalan Perak dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba, kita dapati sebuah unit kediaman di tingkat 10 flat berkenaan terbakar namun tiga penghuni sudah berjaya menyelamatkan diri.
“Meskipun berjaya menyelamatkan diri kesemua mangsa mengadu sesak nafas tidak lama kemudian sebelum dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mohd Zaini, pihaknya mengambil masa selama tujuh minit bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
“Kita melakukan penilaian (sized up) bagi memastikan kawasan sekitar benar-benar selamat dan kebakaran itu menyebabkan kemusnahan sehingga 60 peratus.
“Punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada jam 11.17 malam,” katanya. – MalaysiaGazette