KOTA KINABALU – Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam
(FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan hormat daripada pihak Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), baru-baru ini.
Pengarah DPPC, UTMKL, Dr. Khamarrul Azahari Razak yang mengetuai kunjungan tersebut berkata, sesi ini bertujuan meneroka persefahaman pintar antara NDRC, UMS dan DPPC, UTMKL.
“Kunjungan hormat ini merupakan susulan daripada penglibatan NDRC sebagai rakan strategik dalam penganjuran bersama Program Minggu Sains dan Teknologi untuk Pengurangan Risiko Bencana dan Daya Tahan.
“Kunjungan ini juga bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang pengurangan risiko bencana dan daya tahan serta memperkasa agenda pengurangan risiko bencana negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus yang mempengerusikan perbincangan dalam kunjungan hormat ini menyambut baik hasrat DPPC untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam pengurusan bencana alam di Sabah.
“NDRC yang telah ditubuhkan sejak tahun 2006 ini merupakan focal point untuk semua penyelidikan di UMS berkaitan dengan bencana alam di Sabah.
“Diharapkan dengan adanya kerjasama seumpama ini akan dapat memberi peluang lebih luas dalam bidang penyelidikan bencana dan memantapkan lagi peranan serta penglibatan NDRC sebagai rakan strategik DPPC pada masa akan datang,” ujarnya.
Pusat ini merupakan pusat penyelidikan yang aktif dalam aktiviti-aktiviti melibatkan pengurusan dan pengurangan risiko bencana melalui penyelidikan dan program kesedaran awam termasuklah Program Kesedaran CBDRM iaitu pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti di Sabah. – MalaysiaGazette