Gambar hiasan.

SUBANG – Seorang jurujual yang membuat laporan polis palsu semata-mata untuk mengelak didenda Jabatan Pendaftaran Negara akibat kehilangan MyKad akan didakwa di mahkamah Shah Alam esok.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pengadu yang berusia 25 tahun dalam laporan polis pada Rabu lalu mendakwa semasa berjalan kaki di Jalan USJ 14/1D Subang Jaya telah disamun oleh dua lelaki.

“Pengadu mendakwa suspek menaiki motosikal jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti dengan menggunakan pisau sebelum pengadu telah menyerahkan barang berharga kepada suspek yang dianggarkan mengalami kerugian RM200.

“Bagaimanapun, hasil soal siasat polis terhadap pengadu mendapati kejadian samun itu tidak berlaku seperti didakwa lelaki tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mrnurut Wan Azlan, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 182 / 395 / 397 Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan menerima arahan untuk menuduh individu itu di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Berikutan arahan itu, pengadu yang didapati membuat laporan palsu berkenaan akan dituduh di Mahkamah Shah Alam pada pagi Jumaat ini (esok),” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya meminta orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast