Seorang wanita maut ditetak bahagian belakang leher dan bahu di Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Cemburu disyaki motif seorang wanita maut ditetak di bahagian belakang leher dan bahu kiri di Jalan Raja Uda di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.05 pagi, penjual pakaian berusia 42 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah serta terbaring atas jalan sebelum orang awam memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, hasil siasatan mendapati mangsa ditetak suspek lelaki berusia 29 tahun menggunakan parang sebelum dia bertindak melarikan diri.

Mohd Asri.

Bagaimanapun, katanya, mangsa yang parah itu kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pukul 11.58 pagi.

“Pegawai penyiasat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis SPU serta pihak forensik telah pergi ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

“Siasatan di lokasi membawa kepada penemuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran serta saksi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut ditemui parang dipercayai digunakan suspek yang juga operator kilang dalam kes tersebut.

Sebilah parang turut ditemui berhampiran mangsa.

Tambah Mohd Asri, susulan itu, gerakan memburu suspek dijalankan sebelum sepasukan polis daripada Bahagian D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menahan suspek bagi membantu siasatan.

“Suspek dikatakan bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang sejurus melakukan jenayah tersebut namun berjaya diselamatkan nelayan.

“Suspek kini ditahan di Hospital Pulau Pinang susulan menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sehubungan itu, kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Nasrina Darus di talian 04 576 2222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, lelaki tempatan yang diselamatkan nelayan selepas bertindak terjun di Kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang menghala Pulau di sini hari ini dipercayai suspek yang dikehendaki polis bagi satu kes bunuh.

Difahamkan, sebelum insiden terjun ke dalam laut, lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai menetak seorang wanita berusia 40 an di Butterworth dan mangsa dilaporkan meninggal dunia di hospital. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lelaki diselamatkan nelayan suspek kes bunuh