KUALA LUMPUR – Bayaran faedah berkala Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 573,000 penerima di seluruh negara berjaya dikreditkan sepenuhnya semalam.
Penyaluran bayaran yang antara lain merangkumi Pencen Ilat, Faedah Orang Tanggungan, Pencen Penakat dan Faedah Hilang Upaya Kekal itu membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM325 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, komitmen pembayaran jangka panjang bagi semua penyaluran faedah berkenaan masih menepati jadual yang ditetapkan.
Tegasnya, hal itu penting kerana bayaran faedah berkala adalah talian hayat kepada anak yatim, ibu tunggal dan individu terbencana di seluruh negara.
“Semua bayaran faedah berkala yang dinanti-nantikan oleh 573,000 penerima di seluruh negara, meliputi anak yatim, ibu tunggal dan individu terbencana berjaya
dikreditkan sepenuhnya.
“Ini komitmen yang PERKESO utamakan rentetan serangan siber sebelum ini, demi memastikan kelangsungan hidup pencarum dan waris tidak terjejas,” katanya
dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mohammed Azman berkata, semua sistem dan teras Perkeso sudah beroperasi seperti sediakala, dengan langkah penambahbaikan khususnya dari segi aspek keselamatan.
Pada 8 Disember lalu, Perkeso mengesahkan sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang agensi tersebut diserang penggodam.
Bagaimanapun, katanya, ancaman penggodam itu tidak akan merencatkan perkhidmatan mereka terhadap pencarum, majikan dan orang ramai.
“Pelan pengurusan krisis telah diaktifkan dengan kerjasama unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) bagi tujuan pemulihan sistem.” menurut Perkeso. – MalaysiaGazette