Sebahagian 84 warga emas ditipu syarikat pelaburan tidak wujud.

KUALA LUMPUR – Seramai 84 warga emas daripada kaum Cina hari ini mendedahkan bagaimana sebuah syarikat pelaburan menipu mereka sehingga kerugian lebih RM12 juta.

Lebih mengejutkan apabila mangsa mendapat tahu selepas melaburkan wang simpanan mereka, syarikat tersebut bukan sahaja tidak berdaftar sebaliknya dianggap tidak wujud.

Kumpulan itu juga mendakwa telah mencuba pelbagai ikhtiar untuk berunding dengan syarikat pelaburan itu bagi mengembalikan wang mereka namun tidak mendapat apa-apa maklum balas sejak 2018 sehingga kini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, pihaknya baru-baru ini menerima aduan daripada kumpulan itu dan mendapati konsep pelaburan dengan dividen lumayan itu sebenarnya satu sindiket penipuan.

“Bayangkan kerugian lebih RM12 juta, syarikat itu hilang begitu sahaja dan walaupun kumpulan ini cuba berhubung dengan syarikat tersebut hanya diamkan diri dan tidak layan sejak 2018 sehingga kini. Ada juga laporan sudah diklasifikasikan sebagai ROR atau Rujuk Laporan Lain.

“Ada juga segelintir daripada mereka membuat laporan polis antara 2019 sehingga kini namun belum dapat apa-apa maklumbalas positif setakat ini. Syarikat ini sengaja menyasarkan kumpulan warga emas memandangkan mereka ada wang simpanan yang telah lama simpan sebelum dilaburkan.

“Bagi kaburi mata pelabur, syarikat tersebut telah meminta mereka memasukkan wang pelaburan itu ke dalam pelbagai akaun bank. Pelbagai bentuk konsep juga ditawarkan kepada mereka sehingga berminat untuk melabur,” katanya selepas sidang media di sini hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim

Kata Hishamuddin, apa yang lebih menyedihkan apabila ada antara pelabur yang telah menyimpan wang simpanan sejak usia muda kini lesap begitu sahaja.

“Ada yang juga yang guna pakai wang anak-anak. Ada juga yang meminjam, dengar kisah mereka memang kasihan kerana golongan ini juga agak senang ditipu.

“Kebanyakan yang tertipu dengan pelaburan seumpama ini berharap untuk mendapatkan pulangan supaya dapat membantu keluarga masing-masing apabila ketiadaan mereka kelak.

“Kita mohon sangat-sangat kepada pihak berwajib terutamanya polis untuk buka kertas siasatan terutamanya yang sudah diklasifikasikan sebagai ROR. Tangkap semua yang terbabit dan pulang kembali wang mereka jika tidak syarikat ini akan terus kebal serta penipu lebih ramai mangsa. Kita juga akan buat laporan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” ujarnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga seorang pengamal undang-undang memohon masyarakat umum diluar sana supaya lebih berwaspada dengan kes-kes penipuan pelaburan kononnya memberi keuntungan besar.

“Hari-hari kita dengar kes seumpama ini, harap sangat-sangat kepada yang diluar sana supaya lebih berhati-hati. Tidak ada pelaburan yang boleh bawa keuntungan atas angin lagi-lagi syarikat tidak berdaftar. Tolong jangan biarkan sindiket seperti ini terus bermaharajalela,” tegasnya. -MalaysiaGazette