ANKARA – Harga minyak terus meningkat susulan serangan ke atas kapal tentera laut dan komersial di Laut Merah yang telah menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlaku gangguan bekalan.
Minyak mentah penanda aras antarabangsa Brent didagangkan pada AS$78.02 setong pada 10.08 pagi waktu tempatan (0708GMT), peningkatan 0.09% daripada harga penutup AS$77.95 setong pada sesi dagangan sebelumnya pada Isnin.
Penanda aras Amerika, West Texas Intermediate (WTI), didagangkan pada AS$72.69 setong.
Bulan lalu pemberontak Houthi di Yaman, yang berpangkalan di muara selatan Laut Merah berkata, mereka akan menyasarkan mana-mana kapal berbendera Israel yang melalui perairan berhampiran.
Pengumuman itu dibuat pada 19 November ketika serangan Israel terus melanda Semenanjung Gaza yang dikepung.
Yahya Saree, jurucakap kumpulan itu, menegaskan, Houthi akan terus menyasarkan semua kapal yang belayar di Laut Merah dan Laut Arab dan menuju ke Israel melainkan makanan dan ubat-ubatan dibenarkan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Akibat serangan itu, banyak syarikat perkapalan telah memutuskan untuk menghentikan pelayaran mereka di Laut Merah.
Kapal-kapal yang melalui Selat Bab al-Mandeb terpaksa menukar haluan berikutan peningkatan ketegangan di Laut Merah, yang memberi tekanan kepada pasaran minyak.
Selat yang dimaksudkan adalah salah satu laluan terpenting di dunia untuk penghantaran komoditi bawaan laut global.
Pihak Berkuasa Terusan Suez Mesir melaporkan 55 kapal telah dialihkan ke Tanjung Harapan di hujung selatan Afrika dan bukannya Selat Bab al-Mandeb sejak 19 November.
Jika ketegangan berterusan, lebih banyak kapal dijangka menukar laluan mereka, yang boleh mengganggu bekalan minyak.
Pakar mencadangkan potensi risiko yang disebabkan oleh gangguan bekalan dan konflik di Timur Tengah boleh menyebabkan turun naik yang serius dalam pasaran minyak. – Agensi