KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji yang baharu berkuatkuasa 20 Disember 2023.

Pelantikan Rashid diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menurutnya, Rashid adalah seorang ahli perniagaan berjaya yang telah mengasaskan Kumpulan RHB, antara kumpulan perbankan terbesar di Malaysia.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari tahun 1994 hingga 1998, selain pernah
berkhidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari tahun 1995 hingga tahun 2000.

Rashid juga antara enam ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) Tabung Haji.

Laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja Bagi Menyiasat Isu Pengurusan Dan Operasi Lembaga Tabung Haji Dari Tahun 2014 hingga 2020 telah dipersembahkan kepada baginda dan Kerajaan.

Rashid juga adalah Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan atas sumbangan kepada negara dan masyarakat, beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M.

“Sesungguhnya pengalaman luas Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai seorang tokoh korporat amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan TH sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia di samping membantu dalam memacu usaha pengukuhan yang sedang dan terus berjalan.

“Pada masa yang sama, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Azman Mokhtar atas segala jasa bakti dan perkhidmatan terbaik khasnya dalam memimpin Lembaga Pengarah TH dan secara amnya semua warga TH,” kata Mohd Na’im. – MalaysiaGazette