KUANTAN – Meskipun belum genap dua bulan Tabung Palestin 2.0 dilancakan, kutipannya kini hampir mencecah RM2 juta sehingga kini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rody Wan Ismail berkata, kutipan tersebut sudah melepasi sasaran asal sebanyak RM1juta namun masih dibuka kepada orang ramai untuk menyumbang.
”Alhamdulillah kutipan sumbangan mendapat sambutan dan sehingga kini lebih RM1.9 juta berjaya dikutip. Inisiatif ini akan diteruskan dan Pahang tetap komited bersama rakyat Palestin.
“Ini tanda solidariti kami biarpun dari jauh,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu pada 28 Oktober lalu, Tabung Palestin 2.0 yang dilancarkan pada Himpunan Pahang For Palestin di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan mendapat sambutan baik daripada semua lapisan masyarakat di negeri ini.
Kutipan tabung tersebut dibuka kepada seluruh rakyat Pahang, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan bagi memberikan sumbangan.
Sumbangan boleh disalurkan kepada Bank Muamalat Malaysia Berhad bernombor akaun 06010004584717 atas nama Perbendaharaan Negeri Pahang (Infaq).
Manakala jika melalui cek hendaklah ditulis atas nama Pegawai Kewangan Negeri Pahang.
”Sebelum ini kita menyumbang RM700,000 pada Tabung Palestin 1.0 dan berjaya diserahkan kepada Palestin. Kali ini kita akan serah sendiri nanti tanpa orang tengah.
”Kita, Pahang sejak dari dahulu tidak pernah jemu dan penat untuk membantu Palestin, ini tanggjungwab kita bersama kepada saudara seislam,” katanya.
Tambah Wan Rosdy, kerajaan negeri istiqamah dan berpendirian teguh untuk terus memberikan bantuan dan sokongan kepada rakyat Palestin dalam mendepani konflik menentang Israel.
Malah pada 4 Disember lalu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang memakai mafla ketika bersidang sebagai kebersamaan terhadap penduduk Palestin ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berlansung.
Pada Sidang DUN tersebut, Pahang juga telah meluluskan usul menyatakan solidariti untuk rakyat Palestin dan membantah kekejaman dan kezaliman rejim zionis Israel di Gaza.
Suara bantahan itu berikutan tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang gagal menghentikan serangan berterusan rejim zionis ke atas Palestin. – MalaysiaGazette