KUALA LUMPUR – Nilai pemain muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman kini melambung tinggi apabila mencecah RM2.82 juta (550,000 euro) berbanding RM638,000 tahun lalu.
Penilaian itu berdasarkan kemaskini di laman sesawang transfermarkt.com.
Bintang muda JDT itu juga kini muncul pemain tempatan termahal dalam saingan Liga Malaysia.
Berdasarkan penilaian itu, nilai Arif lebih mahal berbanding penyerang import JDT, Bergson Da Silva yang kini bernilai 450,000 euro (RM2.30 juta) dan juga penjaring terbanyak Liga Super, Ayron Del Valle, 400,000 euro (RM2 juta)
Dalam skuad JDT, Arif Aiman adalah pemain keempat paling mahal di belakang Jordi Amat, Takahiro Kunimoto dan Fernando Forestieri berdasarkan paparan di transfermarkt.
Peningkatan pola nilai pasaran pemain itu dalam tempoh dua tahun adalah berdasarkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super, AFC Champions League (ACL) dan juga bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Nama Arif Aiman bukan sahaja gah di Malaysia malah turut menarik perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menyenaraikan Arif Aiman sebagai pemain tumpuan di Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.
Selain itu, nilai Arif Aiman diramalkan boleh mencapai sehingga lebih RM7.5 juta dalam tempoh lima tahun lagi. – MalaysiaGazette