KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini mengumumkan pertukaran 42 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.
Setiausaha Polis Malaysia Deputi Komisioner Alzafny Ahmad dalam kenyataan media malam ini memaklumkan, Komisioner Datuk Wan Hassan Wan Ahmad mendahului senarai itu dengan bertukar sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.
Beliau kini menyandang jawatan Komisioner Polis Pentadbiran di Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman Deputi Komisioner Mohd Roze Shaari kekal di jawatan itu dengan kenaikan pangkat sebagai Komisioner Polis.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Johor,, Deputi Komisioner M Kumar S. Muthuvelu dilantik sebagai Ketua Polis Johor dengan memangku pangkat Komisioner Polis menggantikan penyandangnya Datuk Kamarul Zaman Mamat yang dijangka bersara tidak lama lagi.
Pada masa yang sama, jawatan Timbalan Ketua Polis Johor yang disandang Kumar akan diisi oleh Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/Kepolisan Am), Bahagian Integriti Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Afandi Senin dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Kamarul Zaman mengambil alih jawatan Ketua Polis Johor itu pada Januari 2022 lalu.
Selain itu, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Pahlawan Anuar Othman dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran)
Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Manakala Timbalan Ketua Polis Kedah Deputi Komisioner Datuk Abu Samah Mohd Noor akan mengisi jawatan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur menggantikan Anuar.
Sementara, kekosongan yang ditinggalkan Abu Samah akan diisi oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Adzli Abu Shah dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Arifai Tarawe pula kembali ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah (Siasatan dan Perundangan/Kajian Kes), Bahagian Pematuhan Standard dan akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Tempat beliau digantikan oleh ACP Mohamad Hatta Che Din, Pengarah Keselamatan Universiti Malaya.
Arifai pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Gombak sebelum ditukar ke JIPS pada tahun 2021 sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Seremban pada April lalu.
Dalam pada itu, kekosongan jawatan ketua Polis Daerah Gombak akan diisi oleh timbalannya, Supritendan Noor Ariffin Mohamad selepas ACP Zainal Mohamed Mohamed bersara 1 November lalu.
Beliau akan memangku pangkat ACP.
Kesemua pertukaran pegawai kanan polis itu akan berkuatkuasa pada 23 Januari 2024. – MalaysiaGazette
salam kenal