GAZA – Hamas, kumpulan yang mengawal Semenanjung Gaza, telah menolak sebarang pembebasan tebusan lagi sehingga Israel bersetuju untuk menghentikan pencerobohan sepenuhnya.
Israel berkata, ia telah membunuh lebih 2,000 pejuang Hamas di Gaza sejak gencatan senjata awal bulan ini apabila lebih 100 tebusan dibebaskan.
Kira-kira 120 orang yang diculik dari Israel pada 7 Oktober dipercayai masih dalam tahanan di Gaza.
Usaha diteruskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meluluskan resolusi mengenai perang.
Amerika Syarikat (AS) pula berkata, ia masih mempunyai kebimbangan serius terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan PBB, dengan pengundian kini ditangguhkan ke Jumaat.
Gencatan senjata selama seminggu pada bulan ini juga membawa peningkatan aliran bantuan ke Gaza selepas PBB memberi amaran penduduk menghadapi risiko kebuluran jika perang antara Israel dan Hamas berterusan.
Rundingan mengenai gencatan senjata baharu telah berlangsung di Kaherah, Mesir, walaupun rundingan awal pada hari Rabu tidak menghasilkan persetujuan.
Dalam satu kenyataan, Hamas berkata: “Terdapat keputusan nasional Palestin bahawa tidak perlu bercakap mengenai tahanan atau perjanjian pertukaran kecuali selepas pencerobohan sepenuhnya dihentikan”.
Tidak jelas puak Palestin lain yang dimaksudkan oleh kenyataan itu.
Ini kerana, Jihad Islam, kumpulan yang lebih kecil di Semenanjung Gaza, antara yang diketahui turut menahan tebusan Israel.
Kenyataan Hamas meletakkan Kerajaan Israel dalam kedudukan yang sangat sukar.
Kerajaan Israel sebelum ini berpendapat cara terbaik untuk mendapatkan pembebasan tebusan ialah tekanan tentera ke atas Hamas dan dengan mengadakan operasi menyelamat.
Tetapi setakat ini pendekatan itu tidak benar-benar berkesan.
Hanya seorang tebusan – Ori Megidish – telah diselamatkan.
Sedangkan, Israel berada di bawah tekanan besar daripada saudara-mara tebusan yang masih ditahan, dengan beberapa orang mengatakan bahawa strategi kekerasan tidak berfungsi.
Hamas memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan perang sama sekali tetapi tanpa sebarang jaminan bahawa kumpulan itu akan menghentikan tindakan bersenjatanya.
Oleh itu, Kerajaan Israel amat keberatan untuk menghentikan pertempuran sehingga ia dapat merendahkan keupayaan Hamas sepenuhnya dan ia belum melakukannya lagi.
Ini akan menjadi kekecewaan yang besar bagi penduduk Gaza, yang terdesak agar perang ini dihentikan.
Laporan Israel membunuh 2,000 anggota Hamas di Gaza bulan ini datang sehari selepas kementerian kesihatan Hamas wilayah itu meletakkan jumlah kematian keseluruhan di sana sejak 7 Oktober lebih 20,000 termasuk 8,000 kanak-kanak dan 6,200 wanita.
Apabila Hamas dan sekutu mereka menembusi perimeter yang dikawal ketat dengan Israel pada 7 Oktober, mereka membunuh 1,200 orang.
– Agensi