Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap dalam Pidato Presiden Amanah dan Perasmian Konvensyen Nasional Amanah 2023 di Klang hari ini.

KLANG – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan sesekali menerima apa sahaja bentuk yang berkaitan dengan diskriminasi kaum minoriti dengan konsep ketuanan kaum.

Oleh itu, Amanah menentang politik identiti yang diketengahkan oleh Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Dalam nada tegas, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ada pihak yang cuba menakut-nakutkan orang Melayu dan Islam kononnya kaum itu kini terancam, terabai.

“Ada yang cuba bawa pendekatan politik adu domba, politik menakut-nakut orang Melayu dan lslam, kononnya Islam terancam. Apabila pegangan agama melampau tambah dengan politik perkauman yang seolah-olah lupa sifat kepelbagaian budaya dan kemajmukan etnik negara-bangsa ini, negara akan berterusan dalam berkeberantakan.

“Kita akan terus berkonflik, adanya perebutan kuasa politik dengan mengambil corak dan orientasi ‘identiti politik’ yang amat toksik, ekstrem dan jumud. Agama dan kaum adalah dua identiti yang paling mudah disalahgunakan dan ditunggang, sebagai modal atau kapital politik.

“Ini sekali gus membawa natijah buruk fenomena serta gejala ‘takfiri’ atau mudahnya ‘mengkafir’ lawan politik sebagai tidak Islam atau kurang Islam berbanding mereka,” katanya ketika menyampaikan Pidato Presiden Amanah dan Perasmian Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amiruddin Shaari, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta pemimpin Kerajaan Perpaduan.

Mohamad berkata, Amanah tahu dan amat sedar akan kerencaman saling bersilang pelbagai tuntutan agama, budaya dan kaum.

“Amanah menganjur serta memperjuangkan pegangan ideologinya secara progresif dan inklusif dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas-asas fundamental yang lama disepakati dalam piagam Pakatan Harapan (PH),” katanya -MalaysiaGazette