Orang ramai membeli barangan keperluan Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai boleh mendapatkan barangan dengan harga murah menerusi Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di empat lokasi bermula pukul 10 pagi ini.

Inisiatif jualan murah barangan asas itu diadakan di tapak pasar malam Taman Mas (Dengkil), Kampung Kebun Bunga (Batu Tiga), padang permainan Taman Wangsa Cheras (Dusun Tua) dan Surau Haji Osman Sungai Ingat (Morib).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 ekoran kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS. – MalaysiaGazette