Tiong King Sing
Tiong King Sing.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya lebih berhati-hati apabila memberi maklumat mengenai Covid-19.

Tegas beliau, cadangan itu juga demi mengimbangi pemulihan pelancongan dan ekonomi negara.

Namun beliau tidak menafikan pandemik itu merupakan isu kesihatan awam yang penting dan tidak boleh ‘disorok bawah karpet’.

“Namun kita juga penting untuk kita mengelakkan daripada menimbulkan ketakutan dan mewujudkan persepsi negatif terhadap Malaysia terutamanya sektor pelancongan sekaligus merugikan ekonomi negara.

“Saya membuat rayuan ini berdasarkan kepada kebimbangan serta aduan yang dinyatakan oleh kedua-dua industri pelancongan dan orang ramai. Kita perlu mengambil pendekatan realistik dengan mengambil kira perbezaan situasi semasa dengan situasi yang pernah berlaku sebelum ini ketika wabak mula menular,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya di sini hari ini.

King Sing menambah,  KKM perlu melihat bagaimana negara-negara lain mengendalikan wabak itu dan perhatikan pendekatan berhati-hati yang mereka ambil.

“Benar. Perhatian serius Menteri Kesihatan terhadap perkembangan terkini dalam wabak itu boleh difahami tetapi saya berharap beliau dapat mempertimbangkan kesannya terhadap ekonomi negara termasuk dikhuatiri menjejaskan kemasukan pelancong ke Malaysia.

“Menurut pemerhatian pakar, varian coronavirus JN.1 yang banyak diperkatakan boleh mengelak sistem imun dan lebih mudah berjangkit daripada strain lain tetapi ia tidak mungkin menyebabkan gejala yang lebih teruk.

“Pada masa ini, ia tidak meningkatkan beban sistem kesihatan awam di seluruh dunia,” katanya.

King Sing memberi contoh di mana pengumuman mengenai situasi dalam negara oleh Menteri Kesihatan kita hampir sama dengan kenyataan oleh Menteri Kesihatan Indonesia.

Bagaimanapun, katanya,  Menteri Indonesia menegaskan  situasi untuk musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu akan datang tidak terlalu membimbangkan, berbeza dengan pengumuman di Malaysia yang dilihat mencetuskan rasa resah orang ramai.

“Perbandingan kenyataan menteri kesihatan kedua-dua negara dengan mudah menimbulkan tanggapan seolah-olah Malaysia jauh lebih berbahaya daripada Indonesia.

“Ini boleh menyebabkan pelancong mengelak daripada mengunjungi Malaysia dan memilih negara jiran Indonesia, seterusnya menyebabkan kerugian ekonomi kepada Malaysia.

“Tetapi sebenarnya, banyak tempat di seluruh dunia telah terjejas oleh gelombang terbaharu pandemik ini dengan lonjakan kes yang sepadan. Oleh itu, tidak perlu bertindak keterlaluan dan mengelirukan orang ramai bahawa wabak di Malaysia amat serius.

“Saya perlu mengingatkan bahawa setiap langkah dalam pencegahan dan kawalan Covid-19 mesti dibincangkan secara menyeluruh mengenai kesannya dengan penyelidikan dan kajian yang sewajarnya serta mengelakkan tindakan tergesa-gesa tanpa pertimbangan yang matang, yang boleh menjejaskan pihak berkepentingan dan dieksploitasi oleh individu oportunis, sekaligus merugikan ekonomi negara kita,” tulisnya. – MalaysiaGazette