KUALA LUMPUR – Aliran trafik di lebuh raya utama setakat pukul 5 petang tadi perlahan berikutan orang ramai mengambil peluang cuti panjang sempena Krismas untuk berjalan bersama keluarga dan pulang ke kampung.
Bagaimanapun, tiada kesesakan luar biasa dilaporkan di jalan utama menghala keluar dari ibu negara.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi berkata, trafik perlahan berlaku di beberapa lokasi antaranya arah utara dari Ayer Keroh ke Simpang Ampat.
“Selain itu, aliran trafik juga perlahan arah selatan dari Kuala Kangsar ke Sungai Perak dan dari Senawang ke Port Dickson (U) menghala utara,” katanya.
Kemaskini Plus menerusi laman X rasminya pula memaklumkan, trafik perlahan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE) arah selatan dari Putrajaya ke Bandar Gamuda Cove.
Sementara itu, trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) juga dilaporkan sesak dan perlahan menghala Kuala Lumpur dari Kilometter (KM) 20.8 hingga ke Plaza Tol Gombak. – MalaysiaGazette