GEORGE TOWN – Sebanyak 1,000 pengguna air di tujuh kawasan dalam daerah Barat Daya masih terjejas akibat kejadian saluran paip pecah di dasar Sungai Perai.
Tujuh kawasan terlibat adalah Hospital Balik Pulau, Tingkat Relau, Setia Sky Vista, Vista Condominium, Emerald Park, Sunway Cassia dan Flat Lily.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Ir K. Pathmanathan berkata, kakitangan PBAPP masih bekerja sepanjang masa untuk menangani isu setempat dan memulihkan bekalan air di tujuh kejiranan yang berada di penghujung saluran paip agihan (EoL) dan kawasan tanah lebih tinggi.
“Anggaran jumlah pengguna yang masih kekurangan air dianggarkan seramai 1,000 pengguna malah pasukan lori tangki telah menghantar air ke semua kawasan yang terjejas
“Majoriti isu bekalan air yang belum pulih di kawasan kejiranan itu adalah berkaitan dengan sistem retikulasi dalaman (paip) di premis yang terjejas.
“Bagaimanapun, juruteknik PBAPP bekerjasama dengan syarikat pengurusan dan penduduk untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Pathmanathan berkata, pihaknya juga mendapati penggunaan air dalam tempoh 72 jam lalu dalam daerah Barat Daya amat tinggi.
“Sejak PBAPP memulakan kerja-kerja pemulihan bekalan air pada Jumaat lalu kita kesan penggunaan air yang tinggi di daerah tersebut yang mungkin disebabkan oleh dua faktor utama.
“Antaranya ialah mengisi semula ratusan ribu tangki air kosong di semua premis kediaman, komersial dan perindustrian, termasuk di bangunan bertingkat, dan persediaan menyambut perayaan Hari Natal,” katanya.
Media pada 19 Disember lalu melaporkan PBAPP melaksanakan pelan tindak balas kecemasan membabitkan saluran paip 1,350 milimeter (mm) yang pecah di dasar Sungai Perai.
Saluran paip pecah itu adalah paip utama menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua. – MalaysiaGazette