Seramai sembilan Pati warga Myanmar cuba masuk negara secara haram diberkas di kebun getah bersempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah hari ini.

BUKIT KAYU HITAM – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba memasuki negara melalui laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand di sini, hari ini.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kesemua Patu itu dikesan di kawasan di bawah Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) kira-kira jam 8.17 pagi.

“Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan rondaan jalan kaki telah mengesan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun getah di sempadan Malaysia-Thailand.

Kesemua mereka ditemui dalam kebun getah dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas empat wanita dan lima lelaki berusia lingkungan 18 hingga 36 tahun itu mendapati masing-masing mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain masuk melalui laluan haram di sempadan.

“Turut dirampas lapan buah telefon bimbit, wang tunai dalam matawang Malaysia dan Myanmar dengan jumlah keseluruhan RM5,096.10,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kesemua Pati diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambah kenyataan itu, kesemua PATI diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

“Pasukan beroperasi akan terus memastikan keselamatan sempadan negara daripada
aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan PATI,” katanya. – MalaysiaGazette