KUALA LUMPUR – Tindakan pemandu kereta mengubah laluan dari lorong kanan ke tengah secara tiba-tiba mengakibatkan kemalangan sehingga mencetuskan pertengkaran di antara dua lelaki di KM 22 Lebuhraya Karak menghala ke KL pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, lelaki berusia 35 tahun yang menunggang motosikal dari arah Gohtong Jaya menghala ke Kuala Lumpur gagal mengelak kereta yang secara tiba-tiba mengubah lorong.

Motosikal yang ditunggang lelaki tersebut kemudian melanggar bahagian belakang kereta yang dipandu lelaki berusia 23 tahun.

“Telah berlaku satu kemalangan di KM 22 Lebuhraya Karak menghala KL melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis BMW S1000RR dan sebuah kereta jenis Honda City,” katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun katanya, penunggang motosikal dan pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecedaran.

Katanya, kedua-duanya kenderaan tersebut berhenti di tepi jalan dan berlaku pertengkaran.

Noor Ariffin berkata, kes tersebut disiasat mengikut kaedah 6(1) LN 166/59 iaitu kesalahan memotong secara berbahaya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian tampil membantu siasatan.

“Boleh berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Sazila Yusuf di talian 013-3083696 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gimbak 03-61262222,” jelasnya.-MalaysiaGazette