Polis buru dua beradik yang melarikan diri.

KUALA LUMPUR – Seorang warga Myanmar cedera di tangan dan dada akibat diserang rakan sekerjanya menggunakan pisau pemotong sayur di Kampung Jawa, Klang pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 39 tahun yang bekerja sebagai tukang besi di sebuah kilang fabrikasi logam bersama tiga lagi rakannya senegaranya meminum arak.

Pada masa itu berlaku perselisihan faham antara mangsa dan adik kandung suspek.

Selesai sahaja minum, suspek datang ke arah mangsa sambil memegang sebilah pisau pemotong sayur lalu menyerangnya.

Hoong Fong berkata, suspek dan adik kandungnya kemudian telah melarikan diri.

“Polis dalam usaha mengesan dan menangkap kedua-dua suspek,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, menurutnya, polis pada 25 Disember lalu kira-kira pukul 8.53 malam telah menerima satu laporan polis daripada doktor perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang menerima seorang pesakit di Unit Kecemasan yang mengalami kesan kecederaan.

Sehubungan itu Bahagian Siasatan Jenayah Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Sesyen 326 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun hendaklah juga dikenakan denda atau sebatan. – MalaysiaGazette