KUALA TERENGGANU –  Sebanyak 28 sekolah membabitkan empat daerah di Terengganu terjejas ekoran banjir gelombang ketiga yang melanda negeri ini sejak Sabtu lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman @ Abdullah berkata, operasi pembersihan sekolah yang terkesan dengan banjir telah dimulakan mulai hari ini sehingga 1 Januari nanti sebelum sesi persekolahan bermula semula 2 Januari.

“Operasi pembersihan sekolah-sekolah terbabit akan diuruskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah, pihak sekolah serta komuniti setempat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 13 sekolah terjejas dengan banjir adalah di Hulu Terengganu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periok, SK Kua, Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Berang, SK Sungai Berua dan SK Betong.

“Selain itu sekolah di Hulu Terengganu yang dilanda banjir adalah SK Tapah, SK Tengku Ampuan Intan,  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, SK Padang Setar, Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah, SK Tengkawang, SMK Tengku Ampuan Intan dan SK Bukit Gemuroh,” katanya.

Dalam pada itu katanya sebanyak tujuh sekolah di Setiu turut dilanda banjir iaitu SK Pak Ba, SK Kampung Besut, SK Sungai Las, SK Merbau Menyusut, SK Langkap, SK Kampung Buloh dan SK Kampung Bukit Ulu Nerus.

Selain itu sebanyak empat sekolah terkesan dengan bencana itu di Kemaman iaitu SK Padang Kubu, SK Pasir Gajah, SMK Ayer Puteh dan SK RKT Seberang Tayor manakala di Dungun empat sekolah turut terjejas iaitu SK Pasir Raja, SK Kampung Shukor, SK Minda Talong dan SK Kuala Jengal.

Dalam perkembangan sama Azman berkata, sebanyak 47 buah sekolah di seluruh negeri ini dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi banjir gelombang kali ini membabitkan iaitu 12 sekolah di Setiu, 11 sekolah di Dungun, 10 sekolah di Hulu Terengganu, lapan sekolah di Besut, masing-masing dua sekolah di Kuala Terengganu dan Kemaman, dan masing-masing satu sekolah di Kuala Nerus serta Marang.

Daripada jumlah berkenaan katanya, sebanyak 32 buah sekolah sehingga kini masih lagi beroperasi sebagai PPS.

“Sekiranya sekolah masih menjadi PPS setelah sesi persekolahan dibuka pada 2 Jan nanti,maka ia bergantung kepada keadaan semasa. Sekiranya tidak kondusif atau selamat untuk pembelajaran, maka (pihak) sekolah boleh mohon cuti bencana,” katanya. – Bernama