KUALA LUMPUR – Kelab Bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat kejutan apabila mengumumkan tidak akan menggunakan khidmat ketua jurulatih, Esteban Solari bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024 dan 2025.
Menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan Johor Southern Tigers, selain Solari barisan kejurulatihan yang tidak akan bersama juara Liga Super 10 musim berturut-turut itu adalah Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr Leandro Pinero.
Menurut kenyataan itu, skuad Harimau Selatan sedang melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan 30 hingga 40 peratus disebabkan keperluan penstrukturan semula kewangan.
“Penstrukturan dibuat bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab. Kelab telah membelanjakan sejumlah wang untuk projek bola sepak sepanjang enam hingga tujuh tahun ini,” kata kenyataan itu.
Bukan sahaja barisan kejurulatihan turut terbabit dalam penstrukturan malah beberapa pemain juga tersenarai dalam transformasi yang dianggap besar-besaran oleh JDT dalam usaha untuk memantapkan lagi kewangan pasukan itu.
“Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.
“JDT juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pemain yang akan dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan penjaga gol, Haziq Nadzli,” kata kenyataan itu.
Namun nama seperti Bergson Da Silva, Juan Muniz, Heberty Fernandes dan Fernando Forestieri tidak disebut dalam senarai transformasi berkenaan dan kemungkinan akan dikekalkan untuk mengharungi kempen musim depan. – MalaysiaGazette