Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi meragui keikhlasan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bersetuju agar mereka yang digelar ‘Tun’ disiasat berkaitan rasuah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu mendakwa, kenyataan Dr. Mahathir seolah-olah menyindir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menyita bangunan yang dikaitkan dengan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin.

“Tun M mencadangkan semua yang bergelar Tun disiasat. Tidak perlu dokumen untuk siasat. Memadai syak wasangka untuk mula siasat.

“Menurut Tun lagi kalau sumber aset diragui maka ia mesti disita. Semua bergelar Tun juga mesti direman jika enggan mendedahkan sumber aset itu diperolehi.

“Apakah Tun M menyindir SPRM kerana menyita menara Ilham milik Tun Daim. Atau Tun M tersinggung? Atau tercabar seolah olah selepas ini giliran beliau pula,” soal Mohd. Puad.

Beliau turut mengaitkan kenyataan Dr. Mahathir dengan tindakan undang-undang yang telah diambil terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahril Samad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu secara sinis berkata, kerana patuh dengan ‘rule of law’ agensi di bawah pentadbiran Dr. Mahathir telah mengambil tindakan terhadap kedua-dua pemimpin terbabit.

“Tun kata semua itu ikut “rule of law”. Patutlah Tun M buat cara begitu ramai jadi mangsa termasuk Najib dan Shahrir Samad. Dakwa dulu, cari bukti kemudian.

“Kes money laundering SRC Najib bertahun tangguh. Tahun hadapan baru mula bicara. Akhirnya kes Tan Sri Shahrir Samad digugurkan setelah dimalukan.

“Tetapi eloklah SPRM guna dokumen tulen untuk cari bukti, buat siasatan rapi, jangan guna buruk sangka dan arahan dendam untuk mendakwa,” kata Puad.

Tambah Mohd. Puad bukan semua ‘Tun’ mesti disiasat dan ia isu antara dua darjat.

Bagaimanapun pihak yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa perlu disiasat termasuk ‘anak, menantu dan kawan rapat’.

Semalam Dr. Mahathir berkata, Individu yang bergelar ‘Tun’ wajar disiasat jika mereka gagal menjelaskan dari mana atau bagaimana mendapat wang.

Bekas Perdana Menteri itu yang bersetuju dengan tindakan itu berkata, syak wasangka sahaja sudah memadai bagi pihak berkuasa untuk menyita harta individu terbabit.-MalaysiaGazette