KUALA LUMPUR – Pertahanan naturalisasi, Justin Hubner mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama Indonesia beraksi dalam liga popular di dunia, Liga Perdana Inggeris.
Hubner merupakan pemain pertahanan skuad Garuda dan telah rasmi berstatus naturalisasi selepas mendapat taraf warganegara Indonesia pada Disember lalu.
Pemain kelahiran Belanda itu kini didaftarkan sebagai pemain Indonesia bersama kelab Wolverhampton Wanderers (Wolves) bermula musim 2023/24, menurut laman web rasmi EPL.
Perubahan status itu sekali gus mencipta sejarah baharu apabila muncul pemain pertama dari Indonesia yang beraksi di EPL walaupun masih belum buat penampilan pertama bersama skuad utama Wolves.
Hubner menyertai Wolves pada tahun 2020 dan merupakan salah satu dari sembilan pemain yang diberikan biasiswa oleh kelab selepas menyinar bersama skuad B-18 tahun.
Hubner berpeluang beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan apabila namanya berada dalam senarai awal 28 pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat skuad kebangsaan Indonesia.
Dia bakal diuji dalam aksi persahabatan menentang Libya sekali gus membuat penampilan pertama bersama Indonesia.
Selain Hubner, Indonesia turut mempunyai seorang lagi pemain pertahanan dari Liga England iaitu Elkan Baggott yang beraksi bersama kelab divisyen 3, Cheltenham Town.
Kedua-dua pemain itu menjadi taruhan pengendali Indonesia, Shin Tae-yong untuk memperkuatkan barisan pertahanan dalam Piala Asia 2023. – MalaysiaGazette