Pelajar tahfiz tekun membaca ayat suci al-Quran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur.

 

Al-QURAN ialah kalam Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. melalui perantaraan Malaikat Jibril dalam Bahasa Arab, diriwayatkan secara mutawatir dan membaca setiap hurufnya dikira sebagai ibadah, bermula dari Surah Al-Fatihah dan
berakhir dengan Surah An-Naas.

Al-Quran telah menjadi tradisi bagi umat Islam pada setiap 17 Ramadhan sempena majlis peringatan Nuzul al-Quran. Ia merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur sehingga lengkap sebagaimana al-Quran yang ada pada hari ini.

Al-Quran adalah sebaik-baik hidayah dan petunjuk ke jalan yang benar untuk menguruskan segala yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Maka, ia menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam untuk mempelajarinya. Kita bukan sahaja dituntut untuk mempelajari cara membaca dan mengetahui segala hukum tajwid, malah kita wajib mempelajari serta menerangkan segala isi kandungan yang terdapat dalam al-Quran kepada orang ramai. Secara ringkasnya, penurunan al-Quran berlaku dalam beberapa peringkat secara beransur-ansur selama 23 tahun.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menceritakan berkaitan kelebihan Al-Quran dan juga kelebihan mempelajarinya sebagaimana firman Allah SWT:

أَوۡ زِدۡ عَلَيۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا ٤

4. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT suka kepada hamba-Nya yang sentiasa membaca dan melazimi Al-Quran di samping Allah SWT juga telah menjadikan al-Quran mudah untuk dihafal dan dipelajari.

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتۡلُونَ كِتَٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُواْ مِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ سِرّٗا وَعَلَانِيَةٗ يَرۡجُونَ تِجَٰرَةٗ لَّن
تَبُورَ ٢٩
29. Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;

وَلَقَدۡ يَسَّرۡنَا ٱلۡقُرۡءَانَ لِلذِّكۡرِ فَهَلۡ مِن مُّدَّكِرٖ ١٧
17. Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran
(daripadanya)?

Al-Quran perlu dipelajari secara berguru atau bertalaqqi iaitu mengaji al-Quran secara berhadapan dengan guru sebagaimana peristiwa Nabi SAW diajar oleh Jibril AS. Setiap tahun, Baginda SAW akan belajar al-Quran dengan Jibril AS hanya sekali melainkan pada tahun kewafatannya iaitu sebanyak dua kali. Oleh itu, amat penting untuk kita membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kalam Allah kerana ia berupaya
menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Secara tidak langsung, penghayatan terhadap mesej yang terkandung dalam al-Quran juga dapat menyuntik motivasi diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan. Oleh itu, membaca al-Quran mengandungi fadhilat besar yang amat sukar untuk ditolak oleh sesiapa pun.

Allah SWT telah menjanjikan ganjaran pahala yang begitu banyak kepada golongan yang membaca al-Quran sebagai rutin harian mereka. Pahala membaca al-Quran bukan hanya dikira berdasarkan keseluruhan ayat atau surah, tetapi setiap huruf itu diberikan
ganjaran dengan 10 pahala.

Bagaimanapun, tidak semua manusia dapat memahami bahasa Arab dengan fasih dan sempurna kerana umat Islam secara keseluruhannya adalah terdiri daripada pelbagai bangsa yang mempunyai bahasa mereka tersendiri selain daripada bahasa Arab. Bahkan, manusia yang tidak terdiri daripada bangsa Arab turut mustahil untuk memahami dengan sempurna terhadap segala maksud dan makna yang terdapat di dalam al-Quran tanpa mempelajari bahasa Arab ataupun mendapatkan bantuan daripada mereka yang pakar dalam bidang tafsiran dan ilmu al-Quran.

Walaupun banyak kesukaran yang dihadapi, segala usaha untuk mempelajari, mendalami dan mengamalkan apa yang telah dinyatakan di dalam al-Quran sangat dituntut untuk umat Islam melakukannya serta orang yang ingin mendapatkan panduan, bimbingan serta manfaat daripadanya. Namun, masih ada segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa pembacaan al-Quran tidak akan berkesan sekiranya maksud sebenar ayat gagal difahami. Andaian ini adalah tidak tepat kerana bacaan al-Quran yang dilakukan sama ada dengan memahami maksudnya ataupun tidak, ia tetap termasuk dalam salah satu ibadah dan amal soleh yang memberikan manfaat kepada pembaca.

Antara kelebihan membaca al-Quran adalah ia akan menjadi sumber syafaat di hari akhirat. al-Quran akan membawa pertolongan dengan melepaskan pembacanya dari segala kesusahan dan kesengsaraan. Malah, al-Quran akan menjadi pelindung buat pembacanya di padang Mahsyar di mana ia akan bertindak sebagai pembela utama di hari akhirat.

Selain itu, al-Quran disifatkan sebagai sumber peraturan dan hukum-hakam dalam mengawal tingkah laku manusia. Al-Quran turut mengajak pembacanya supaya mentauhidkan Allah SWT serta bertakwa kepada-Nya. Oleh itu, ia merupakan sebaik-baik
amalan dalam membangunkan jiwa setiap insan.

Bukan itu sahaja, pembaca al-Quran akan diberi kemuliaan serta ganjaran dua pahala bagi yang tidak mahir. Allah SWT akan mengangkat martabat dan kemuliaan pembaca al-Quran. Mereka akan diletakkan bersama para rasul yang mulia. Malah, golongan yang tidak mahir membaca turut diberikan ganjaran berganda sebagai ganjaran usaha mereka.

Kesimpulannya, kita perlulah sentiasa berdamping dan memiliki hati yang terikat kuat dengan al-Quran kerana ia terbukti bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang benar dan sesuai dijadikan sebagai pedoman hidup manusia. Malah, ia mempunyai keselarasan antara agama Islam dengan ilmu pengetahuan sehingga ia dapat dicapai pada titik pertemuan antara keduanya. Justeru, al-Quran akan memberikan cahaya yang terang benderang di dalam hati pembaca serta cahaya di dalam rumah tempat ia dibaca. Hargai segala apa yang telah disampaikan di dalam al-Quran supaya kita menjadi insan yang diredhai oleh Allah SWT.

Masitah Ayup
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast