KUALA LUMPUR – Prospek ekonomi negara pada tahun 2023 menonjolkan trend pertumbuhan yang berbeza dalam pelbagai sektor, cabaran dalam perdagangan luar negeri, dan gabungan isyarat positif dan berwaspada.

Faktor-faktor ini secara keseluruhannya menunjukkan persekitaran ekonomi yang berdaya tahan tetapi masih rapuh.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, menilai landskap ekonomi negara pada Oktober 2023, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia memulih kepada pertumbuhan 2.7 peratus tahun ke tahun, peningkatan ketara
berbanding penurunan 0.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Ini merupakan peningkatan signifikan sejak Mei 2023, terutamanya didorong oleh prestasi kukuh dalam sektor Perlombongan yang meningkat 8.7 peratus, katanya dalam laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 12/2023.

Edisi ini memfokuskan statistik terkini yang diterbitkan bagi bulan Oktober 2023.

Pada masa yang sama, sektor elektrik dan pembuatan mengekalkan trend positif, dengan masing-masing merekodkan peningkatan 5.8 peratus dan 0.9 peratus.

Sektor pembuatan mencatatkan penurunan nilai jualan sebanyak 1.4 peratus pada Oktober 2023, menunjukkan penguncupan yang lebih kecil berbanding penurunan 2.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Penurunan ini dipengaruhi oleh kejatuhan berterusan dalam subsektor petroleum, kimia, getah & plastik, yang mengalami penyusutan 9.5 peratus. Selain itu, subsektor produk elektrik & elektronik turut mengalami penurunan 2.7 peratus.

Menganalisis bagi sektor perdagangan borong & runcit, nilai jualan bulanan pada Oktober 2023 mencecah RM142.3 bilion, menunjukkan peningkatan 6.5 peratus tahun ke tahun.

Pertumbuhan yang ketara itu didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong, yang berkembang 5.7 peratus atau RM3.4 bilion, mencapai jumlah RM63.3 bilion.

Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan kadar pertumbuhan 19.1 peratus (+RM3.0 bilion) dan subsektor perdagangan runcit tumbuh 3.9 peratus (+RM2.3 bilion).

Melihat pada perspektif harga, Malaysia mengalami kenaikan inflasi sebanyak 1.8 peratus pada Oktober 2023, dengan merekodkan mata indeks 130.9 berbanding 128.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan inflasi ini didorong oleh restoran & hotel, yang menokok 4.6 peratus (September 2023: 4.4%); makanan & minuman bukan alkohol, meningkat 3.6 peratus; dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah yang menunjukkan peningkatan 1.4 peratus.

Pada November 2023, inflasi Malaysia terus meningkat secara sederhana, mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan 1.5 peratus, dengan mencatatkan mata indeks 130.9 berbanding 129.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia susut 0.3 peratus pada Oktober 2023 manakala pada bulan berikutnya negatif 1.5 peratus.

Dari segi perdagangan, jumlah perdagangan Malaysia susut 2.4 peratus pada Oktober 2023 bagi perbandingan tahun ke tahun, mencatatkan RM239.5 bilion.

Eksport menunjukkan penurunan 4.4 peratus, mencecah RM126.2 bilion, manakala import mengalami penyusutan marginal 0.2 peratus, berjumlah RM113.3 bilion.

Oleh itu, lebihan dagangan kekal pada RM12.9 bilion, penurunan 30.3 peratus daripada tahun sebelumnya.

Bagi senario buruh, pasaran buruh Malaysia menunjukkan pertumbuhan tahunan 2.0 peratus bagi bilangan penduduk bekerja, mencecah 16.40 juta orang pada Oktober 2023.

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) untuk Oktober adalah pada 70.1 peratus, mencatatkan peningkatan 0.4 mata peratus daripada 69.7 peratus yang direkodkan pada Oktober 2022.

Pada masa yang sama, kadar pengangguran menurun 0.2 mata peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, dengan mencatatkan 3.4 peratus.

Mohd Uzir merumuskan, Indeks Pelopor (IP) menunjukkan penurunan tahun ke tahun sebanyak 0.2 peratus pada Oktober 2023, merosot daripada 109.4 mata pada tahun sebelumnya kepada 109.2 mata disebabkan terutamanya oleh penguncupan dalam import benar semikonduktor (-33.6%), yang secara konsisten menunjukkan trend negatif selama sepuluh bulanberturut-turut.

Sebaliknya, terdapat trend positif yang signifikan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan, menunjukkan pertumbuhan 40.0 peratus.

Kadar pertumbuhan IP terlicin pada Oktober 2023 yang kekal di bawah trend 100.0 mata, memberi isyarat prospek pertumbuhan yang sederhana dalam beberapa bulan akan datang disokong oleh penggunaan swasta yang positif dan pasaran buruh yang
menggalakkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast