KUALA LUMPUR – Gabungan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan dan individu dikenali BDS Malaysia akan menyerahkan kepada mahkamah berhubung dakwaan bahawa ia memfitnah McDonald’s Malaysia
Menurutnya, BDS Malaysia telah menerima writ saman daripada McDonald’s baru baru ini yang mendakwa ia memfitnah syarikat tersebut.
“BDS Malaysia merupakan NGO berdaftar di negara ini yang menyeru orang awam, pertubuhan dan kerajaan Malaysia memboikot Israel dan organisasi-organisasi yang terbabit dengan kekejaman Israel terhadap penduduk palestin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada 12 Disember lalu, McDonald’s Malaysia membuat laporan polis terhadap lebih 20 individu dan organisasi kerana memfitnah rangkaian restoran makanan segera itu yang didakwa menyalurkan dana kepada Israel.
Pengarah Urusan dan Pemilik Saham Tempatan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, Azmir Jaafar berkata, pihaknya juga menubuhkan satu pasukan peguam penasihat luar untuk membantu dan memastikan hak dan kepentingan syarikat serta lebih 12,000 pekerja dilindungi.
Sementara itu, BDS Malaysia berkata, ia telah melantik firma guaman, Raja Riza and Associates dan selepas berunding dengan peguamnya gabungan tersebut akan mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci. – MalaysiaGazette