CYBERJAYA – Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (JK PBAKL) 2024 bersetuju melakukan penetapan semula atau relokasi tapak reruai PBAKL untuk para peserta.
Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron berkata, cadangan mekanisme itu akan dikemukakan pada 15 Januari 2024 dan kemudian bakal dilaksanakan selepas mendapat persetujuan semua pempamer.
“Kita akui ada sedikit kelemahan dalam pengurusan PBAKL 2024 dan ada ruang-ruang yang kita boleh berbaiki.
“Jadi kita mengadakan dialog ini untuk penambahbaikan PBAKL dengan mendapatkan maklum balas untuk semua pemain industri.
“Alhamdulilah sambutan cukup baik banyak cadangan yang dikemukakan (peserta) dan kita membuat ketetapan bahawa perkara paling utama adalah membuat relokasi tapak reruai untuk pempamer.” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog bersama penjual dan penerbit buku mengenai isu tapak reruai yang telah dijual sebelum tempahan dibuka kepada umum di Bangunan Mustapha Kamal, di sini hari ini.
Terdahulu, hampir 200 pempamer hadir memberikan pandangan mereka pada sesi dialog itu dengan disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang dilihat prihatin terhadap dunia pembukuan.
Mohd Khair yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah TV Alhijrah memaklumkan, isu pemilihan reruai itu bukan pertama kali berlaku dalam PBAKL dan situasi itu jelas menunjukkan penyertaan peserta mendapat sambutan menggalakkan.
“Cuma apa yang berlaku tahun ini adalah peningkatan mendadak dalam kalangan pempamer. Maksudnya ada satu kejutan, hari pertama sudah ramai yang memohon.
“Sebelum ini, sebulan sebelum hari PBAKL berlangsung, masih ada reruai yang kosong dan kita perlu cari orang, tapi kali ini sambutan sangat hebat.
“Saya melihat ini satu petanda yang sangat hebat dan positif pada dunia pembukuan. Maksudnya, mereka melihat buku masih boleh dijual dan ramai pemain industri berminat dalam dunia pembukuan kerana rakyat kita masih membaca,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai pendaftaran tapak reruai PBAKL secara digitalisasi seperti dicadangan oleh pempamer pada sesi dialog itu, beliau berkata, ia bakal dilaksanakan pada 2025.
Sebelum ini, kira-kira 27 penerbit mendesak JK PBAKL 2024 untuk membatalkan tempahan reruai yang dibuat sebelum tarikh ditetapkan iaitu pada 15 Disember lalu.
Dalam satu kenyataan, mereka mendakwa, hampir keseluruhan tapak dengan kedudukan yang strategik telah ditempah lebih awal.
Penerbit berkenaan turut menegaskan bahawa mereka akan memanjangkan bantahan tersebut ke peringkat Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri dan agensi penguatkuasa kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (МуСС).
Antara bantahan lain yang turut dikemukakan ialah tiada makluman awal dan rasmi mengenai kenaikan harga sewaan tapak daripada RM3,500 ke RM3,750 untuk ahli. – MalaysiaGazette
Penjual buku tuntut PBAKL 2024 batal tempahan sebelum 15 Disember