JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di Johor semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 63 orang daripada 16 keluarga, setakat 8 pagi tadi berbanding 121 orang daripada 39 keluarga, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, sehingga kini hanya daerah Segamat masih terkesan banjir dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Dewan Komuniti Taman Tasek, Balai raya Kampung Baru Badak dan Balai raya Kampung Jabi.
Tambah beliau, daripada jumlah itu, seramai 41 penduduk Kampung Sebarang Batu Badak ditempatkan di PPS Balai raya Kampung Baru Badak manakala 14 penduduk kampung sama ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Taman Tasek.
“Seramai lapan penduduk Kampung Sermin yang terjejas akibat banjir dipindahkan ke PPS Balai raya Kampung Jabi,” katanya yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azmi, Sungai Lenik Ladang Chaah di Segamat menghampiri aras bahaya apabila mencatatkan bacaan 5.59 meter (m) manakala Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur yang merekodkan bacaan 3.42v meter berada pada aras waspada
“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula melaporkan ribut petir dan hujan lebat diramalkan berlaku di Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” ujarnya. – MalaysiaGazette