Pemain Malaysia, Safawi Rasid meraikan gol pertama Harimau Malaya ketika menentang Turkmenistan pada perlawanan bola sepak dalam aksi kelayakan kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap kanan negara, Muhammad Safawi Rasid mahu membalas kepercayaan yang diberi ketua jurulatih Kim Pan Gon, selepas dipanggil memperkuatkan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi cabaran Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bulan depan.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dilaporkan bakal dipinjamkan ke Terengganu FC musim depan itu, mengakui tidak menjangka khidmatnya masih ditagih pengendali dari Korea Selatan tersebut berikutan kekurangan minit permainan bersama skuad Harimau Selatan tahun ini.

Di sebalik kekurangan minit permainan, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 dan 2019 itu, berkata, beliau sentiasa berusaha mengekalkan tahap kecergasan dengan memberikan 100 peratus komitmen dalam setiap sesi latihan yang diadakan.

“Saya tak jangka (dipilih) sebab tahun ini saya kurang bermain dan baru balik dari Thailand (Ratchaburi FC), namun setiap hari saya berikan 100 peratus dalam latihan di kelab dan skuad kebangsaan.

“Jadi, saya percaya kepada barisan kejurulatihan terutama Kim Pan Gon (kerana dia) tahu nak gunakan pemain yang diambil. Kami di sini hanya perlu bekerja keras dan memberikan segalanya dalam latihan,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Selain memberikan tumpuan penuh dalam sesi latihan, Muhammad Safawi berkata, beliau turut melakukan latihan tambahan dan mengekalkan disiplin pemakanan serta menjaga waktu tidur.

Mengulas lanjut, penjaring terbanyak bagi Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2020 itu berkata, Piala Asia merupakan medan permulaan dalam usahanya mencapai prestasi terbaik sekali gus memperbaiki reputasi yang disifatkan merundum oleh peminat sukan bola sepak tanah air.

“Walaupun kurang bermain, ini peluang terbaik saya beraksi di pentas tertinggi sebab lima tahun lepas main untuk Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) dan sekarang dapat peluang bersama skuad senior pula. Saya akan gunakan (kesempatan) ini sebaik mungkin kalau diberi peluang (beraksi).

“Apa yang penting dalam hati semua (pemain) nak bermain sebagai satu pasukan, tak kisah siapa yang (menjaringkan) gol atau siapa yang tak main, janji kita dapatkan keputusan positif untuk layak ke pusingan 16 terbaik,” katanya.

Bersama pasukan kebangsaan tahun ini, Muhammad Safawi membuat lima penampilan daripada keseluruhan 10 perlawanan dengan menjaringkan tiga gol, masing-masing satu gol menentang Kepulauan Solomon dan dua gol bertemu Papua New Guinea pada Jun lepas.

Sementara bersama JDT, Muhammad Safawi membuat dua penampilan dalam saingan Liga Super selepas kembali menyertai pasukan daripada tempoh pinjaman di Ratchaburi pada April lepas, menurut https://www.transfermarkt.com.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia, akan memulakan saingan Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Januari ini, Bahrain (20 Januari) dan bertemu juara dua kali Korea Selatan pada aksi terakhir 25 Januari. – Bernama