Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendukung sepenuhnya titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar bukan Islam tidak mencampuri urusan agama.

Anwar berkata, bukan Islam boleh membuat pertanyaan terhadap sebarang kemusykilan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Merujuk kepada kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan agar dihormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di Malaysia, dan saya mendukung penuh kenyataan tersebut.

“Namun, sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab,” kata Anwar dalam kenyataan.

Semalam Sultan Sharafuddin mengingatkan ahli politik khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Titah baginda, MKI yang dipengerusikan oleh baginda, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

Baginda memetik ayat keenam Surah al-Kafirun daripada al-Quran yang bermaksud: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.

Sultan Sharafuddin dalam kenyataan itu turut bertitah supaya penganut agama-agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.

Sebelum itu media melaporkan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Pemimpin DAP itu berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kenyataan Koo Ham adalah kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu.

“Saya amat sedar bahawa kenyataan Datuk Ngeh akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.

“Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette