KUALA LUMPUR – Rakyat diseru menyokong program-program solidariti terutamanya menjelang 2024 beberapa jam lagi demi membela nasib rakyat Palestin di Gaza yang kini berdepan dengan konflik kemanusian paling teruk.
Dalam satu kenyataan hari ini, kata Naib Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Faris Ariffin berkata, adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira agama, bangsa, fahaman politik dan idealogi untuk terus membela nasib rakyat Palestin.
Kata Faris, arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya syarikat perkapalan berpangkalan di Israel menggunakan bendera negara itu atau kapal dalam perjalanan menuju ke sana, dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia merupakan langkah tuntas.
“Afrika Selatan juga baru-baru ini telah memfailkan kes pendakwaan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas jenayah genosid ke atas rakyat Palestin.
“Menjadi suatu kemestian untuk reaksi drastik ini bagi membantah sekeras-kerasnya tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
“Kecaman terhadap keganasan Israel semakin mendapat sambutan melalui perkhabaran berita terkini tentang pakatan ketenteraan di Laut Merah iaitu Operasi Penjaga Kemakmuran (OPG) yang dikelolakan oleh AS tidak mendapat sambutan daripada China, Perancis, Sepanyol dan Itali,” katanya sebentar tadi.
Beliau turut melahirkan rasa sedih terhadap hipokrasi pemimpin-pemimpin negara Arab yang terlihat melalui projek koridor darat rentetan perjanjian Abraham Accords untuk menyelamatkan penghantaran kargo antara negara-negara Teluk dan Israel melalui Saudi Arabia, Jordan, Mesir diteruskan.
“Dunia menyaksikan hari demi hari sokongan terhadap pembebasan rakyat Palestin daripada keganasan Israel semakin memuncak.
“Pemuda Amanah yakin bahawa kemenangan rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka semakin hampir, melalui semangat yang diterjemahkan oleh perarakan dan himpunan Pro-Palestin di seluruh dunia.
“Tekanan demi tekanan oleh warga dunia pencinta keamanan dan keadilan sejagat sama ada di London, Berlin, Paris dan Washington, mahupun negara-negara Amerika Selatan dan Afrika, membuktikan Israel dan AS makin terpencil dan bersendirian dalam kemelut ini,” ujarnya.
Katanya lagi, sejarah telah membuktikan bagaimana rakyat Malaysia tidak tergolong dalam kalangan mereka yang berdiam diri di kala saudara sesama manusia kita di Palestin ditindas. -MalaysiaGazette