Sebahagian penduduk menunjukkan kain rentang menggesa aktiviti perlombongan dihentikan di kawasan sekitar Kampung Tersusun Air Kuning.

PASIR SALAK – Kira-kira 100 peneroka tanah bekas lombong bijih timah di Kampung Tersusun Air Kuning, Kampung Gajah di sini, meluahkan rasa tidak puas hati dan mahu akvititi perlombongan baharu dihentikan.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Tersusun Air Kuning, Shuhaini Abdul Shukor, 46, berkata, kawasan itu dikenali sebagai Kampung Changkat Pinggan sebelum datuk dan nenek mereka dipindahkan ke Kampung Tersusun Air Kuning untuk memberi laluan kepada aktiviti perlombongan pada tahun 1978.

“Apabila nilai bijih timah jatuh, aktiviti perlombongan dihentikan pada 1984. Oleh itu, penduduk kampung meneroka kawasan tersebut untuk menjalankan aktiviti pertanian sawit.

“Pada masa sama, penduduk turut membuat permohonan pemilikan geran kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampung Gajah namun  ditolak dengan alasan kawasan terbabit berstatus rizab pulau burung.

“Baru-baru ini, kami dimaklumkan bahawa Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) membenarkan syarikat perlombongan untuk masuk bersama mesin jengkaut dan perkara ini berlaku pada Khamis lalu.

“Susulan kejadian tersebut, kami sebagai penduduk kampung terasa tertipu. Ini kerana keputusan yang dilakukan adalah tanpa persetujuan kami iaitu generasi kedua kepada peneroka asal,” katanya.

Shuhaini berkata, jika aktiviti perlombongan itu tetap diteruskan tidak mustahil penternak, nelayan darat dan Orang Asli Kampung Chenderong Kelubi akan kehilangan mata pencarian.

“Sehubungan itu, kami menuntut supaya pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak meluluskan permohonan geran pemilikan tanah di kawasan itu untuk peneroka dan selepas ini, baru kita adakan perbincangan ke peringkat seterusnya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perikanan Air Tawar Sungai Galah (PENIAT) merangkap Pengerusi myKomuniti Perikanan (myKP) Sungai Galah, Sairul Nizam Mohamad Salleh berkata, aktiviti perlombongan itu boleh memberi kesan kepada 70 nelayan darat kerana ia adalah punca pendapatan mereka.

Katanya, sebahagian kawasan perlombongan baharu itu turut akan memberi kesan di kawasan aktiviti perikanan nelayan darat seluas hampir 47.8 hektar.

“Pada 8 Disember lalu, menerusi taklimat di PDT Kampung Gajah, kami difahamkan MB Inc telah memperolehi pajakan melombong (ML) dan kerja-kerja pengosongan akan dimulakan pada akhir bulan ini.

“Mereka turut menawarkan pampasan RM1,000 seekar kepada nelayan darat namun PENIAT tidak bersetuju kerana jumlahnya terlalu rendah dan tidak berbaloi,” katanya.

Berikutan itu, Sairul Nizam memaklumkan pihaknya mengemukakan tiga tuntutan timbal balas kepada kerajaan negeri dan MB Inc bagi memastikan hak nelayan darat terbela.

“Pertama, kami meminta kerajaan negeri mewartakan kawasan perikanan darat dalam Mukim Kampung Gajah seluas anggaran 323 hektar yang melibatkan 10 kolam bekas lombong bagi menjamin kelangsungan aktiviti nelayan darat.

“Seterusnya, kami memohon supaya 10 kolam bekas lombong serta saliran penghubung antara bekas-bekas lombong berkenaan kerana telah dipenuhi dengan ‘mychrophite’ seperti keladi bunting, bakung, benta dan perupu dibersihkan dan diselenggara.

“Ketiga, kerajaan negeri perlu membuat perancangan serta melaksanakan pelan transformasi dan program pemantapan ekonomi nelayan darat di sini yang banyak membantu dalam menyumbang pengeluaran ikan di Perak,” ujarnya.

Dua tahun lalu, kumpulan yang sama pernah menyuarakan kekesalan kerana kerajaan negeri membenarkan pihak lain untuk melakukan aktiviti cari gali di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette