Wan Azlan Wan Mamat. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dan dua kanak-kanak cedera selepas lima kenderaan terlibat dalam kemalangan di Jalan Kempas, Kampung Tengah, Puchong.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian jam 6.28 petang itu pemandu kenderaan Proton Exora  sedang menuju dari arah Putra Heights menuju ke rumahnya di Kampung Kenangan di Batu 13, Puchong hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan kanan.

“Insiden itu telah mengakibatkan kenderaan Exora melanggar tiga motosikal dan sebuah kenderaan pickup yang berada di bahu kanan jalan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Wan Azlan, siastaan di lokasi mendapati kecederaan hanya melibatkan penunggang motosikal dan pemboncengnya iaitu seorang dewasa dan dua kanak-kanak dan mereka dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Tambah beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi pegawai penyiasat Trafik IPD Subang Jaya,  Inspektor Mohamad Hamdan  Jeramatin di talian 0194642222. – MalaysiaGazette