Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis peluncuran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 02 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU)  yang digerakkan Kementerian Ekonomi akan dapat menyelesaikan masalah ketirisan, penipuan dan kebocoran yang berlaku sebelum ini.

“Kalau tidak, tiada sebab masih ada  kelompok yang miskin walaupun kerajaan telah berbelanja RM80 bilion untuk subsidi,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujar beliau, kegigihan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melawan rasuah dengan menyiasat tokoh dan individu tanpa mengira pangkat wajar dipuji.

“Alhamdulillah kita telah catat kesungguhan,” katanya ketika meluncurkan Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Malah dalam masa sama, Anwar turut memuji ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam membanteras sindiket dadah terbesar di Sabah.

“Ratusan ribu anak terlibat dengan dadah berbelanja ratusan juta ringgit. Sukar diambil tindakan terhadap tauke dan pengedar besar. Salute kepada PDRM,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar mengulangi mana-mana individu termasuk tokoh-tokoh kenamaan mahu pun ‘jerung’ tidak lagi akan terlepas daripada disiasat pihak berkuasa.

Tegas beliau, usaha itu bagi merealisasikan impian kerajaan membanteras isu rasuah dan dadah di negara ini.

“Kamu curi dana negara, kamu punggah kekayaan negara, sama ada kamu Perdana Menteri, Menteri Kewangan, menteri-menteri.

“Kamu ingat, kita terpaksa bertindak dengan tegas untuk menyelamatkan negara ini,” ujarnya yang juga Menteri Kewangan.

Media semalam melaporkan seorang bekas pemimpin tertinggi kerajaan dan ketua setiausaha sulit dipercayai akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana kerajaan bernilai jutaan ringgit.

Beliau antara bekas pemimpin tertinggi kerajaan yang sedang disiasat SPRM kerana disyaki memiliki aset, perniagaan daripada hasil meragukan. – MalaysiaGazette