KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai akhir 26 pemain skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon yang akan beraksi pada Piala Asia 2023 di Doha, Qatar dari 12 Jan hingga 10 Feb ini.
Kesemua 26 pemain itu adalah yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak 26 Disember lepas sekali gus menyaksikan Pan Gon tidak membuat sebarang perubahan menjelang kejohanan berprestij itu.
Daripada 26 pemain yang dibawa, tiga merupakan penjaga gol, sembilan pemain pertahanan, enam pemain tengah dan lapan penyerang termasuk pemain naturalisasi terbaharu Romel Morales.
Malaysia, pasukan di ranking dunia ke-130 diundi dalam Kumpulan E bersama Jordan (87), Bahrain (86) dan juara dua kali Korea Selatan yang merupakan pasukan ke-23 dunia.
Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan saingan kumpulan menentang Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari (1.30 pagi 16 Januari waktu Malaysia), Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad (20 Januari) dan aksi terakhir bertemu Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik.
Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.
Sebagai aksi pemanas badan, anak buah Pan Gon yang tiba di Doha seawal 1 Januari lepas dijadual bertemu Syira pada perlawanan persahabatan antarabangsa di sana pada 8 Januari ini.
Berikut senarai akhir 26 pemain skuad Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 di Doha, Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari:
Muhammad Azri Ab Ghani (Penjaga Gol), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Penjaga Gol), Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Penjaga Gol). Matthew Davies (Pertahanan), Shahrul Mohd Saad (Pertahanan), Daniel Ting (Pertahanan), Muhammad Syahmi Safari (Pertahanan). Dominic Tan (Pertahanan), Junior Eldstal (Pertahanan), Dion Cools (Pertahanan), La’vere Lawrence Corbin-ong (Pertahanan), Ahmad Khuzaimi Piee (Pertahanan), Stuart John Wilkin (Tengah), Endrick Dos Santos (Tengah)
Mohamed Syamer Kutty Abba (Tengah), Brendan Gan (Tengah), Mohd Afiq Fazail (Tengah) Natxo Insa (Tengah), Mohamad Faisal Abdul Halim (Penyerang), Darren Lok (Penyerang), Muhammad Safawi Rasid (Penyerang), Arif Aiman Mohd Hanapi (Penyerang), Mohamadou Sumareh (Penyerang), Paulo Josue (Penyerang), Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Penyerang) dan
Romel Morales (Penyerang) – Bernama