KUALA LUMPUR – Hari kedua sesi latihan skuad Harimau Malaya di Qatar University, Doha, Qatar, malam tadi, mendapat suntikan semangat apabila disertai pemain pertahanan kental, Dion Cools.
Kehadiran kapten skuad kebangsaan itu sekali gus melengkapkan senarai 26 pemain yang dibawa ke Piala Asia 2023.
Sesi latihan kendalian Kim Pan Gon itu turut dipantau oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan membuka kempen saingan bertemu Jordan pada 15 Januari, Bahrain (20 Januari) dan Republik Korea (25 Januari 2024).
Cools tidak dapat melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 26 Disember lalu susulan komitmen bersama kelabnya, Buriram United.
Tonggak pertahanan berusia 27 tahun itu menerusi Instagram semalam memuat naik gambar dia berada dalam pesawat menuju ke Qatar untuk bersama skuad kendalian Pan Gon.
Dia bakal bergandingan bersama beberapa barisan pertahanan negara termasuk Shahrul Saad, Matthew Davies, La’vere Corbin Ong, Dominic Tan dan Khuzaimi Piee yang turut berada dalam skuad.
Benteng skuad negara dijangka berdepan tugas getir apabila akan bertembung dengan pemain berkelas dunia terutama dari Korea Selatan yang turut diundi dalam Kumpulan E.
Korea Selatan yang dibimbing Jurgen Klinsmann yang memiliki ramai pemain bintang bertaraf dunia termasuk kapten mereka yang juga tonggak Tottenham Hotspur, Son Heung Min, Lee Kang In (Paris Saint-Germain) dan Hwang Hee Chan (Wolverhampton Wanderers).
Harimau Malaya akan berdepan Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan, 25 Januari selepas menentang Jordan (16 Januari) dan Bahrain (20 Januari). – MalaysiaGazette