Lelaki menyamar sebagai polis dengan berpakaian vest polis ditahan di OP Khas Cegah Janayah Ambang Tahun Baru awal pagi Isnin lalu di Ampang.Ihsan IPD Ampang Jaya

AMPANG – Seorang buruh binaan disyaki menyamar sebagai pegawai polis dengan memakai vest pasukan keselamatan itu diberkas di Pandan Cahaya Ampang Jaya Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 27 tahun ditahan dalam Operasi Khas Cegah Jenayah pada Ambang Tahun Baharu.

Lelaki yang memakai vest dengan tulisan ‘Polis’ berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal di Jalan Pandan Cahaya.

“Semasa ditahan dan diperiksa, suspek gagal menunjukkan kad kuasa polis, selain gagal memberikan alasan munasabah memakai vest “Polis” itu.

“Suspek kemudian ditangkap di lokasi berkenaan kerana disyaki menyamar sebagai penjawat awam sebagai polis,” katanya dalam kenyataan tengah hari tadi.

Polis merampas motorsikal, satu anak kunci, sekeping kad pengenalan dan vest berkenaanuntuk siasatan lanjut.

Ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah dan semakan lanjut mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah kesalahan lampau.

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi dan dibenarkan direman selama empat hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan.

Kes sedang disiasat bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyamar sebagai penjawat awam yang boleh membawa penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 iaitu kesalahan memiliki secara haram peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya sekali, ujarnya.-MalaysiaGazette