Anggota bomba sedang memotong kereta remuk menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan pemandunya yang tersepit di dalam sebelum mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian petang tadi.Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu maut selepas kereta yang dipandu hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di tepi Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Kuala Selangor.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan bomba dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya telah bergegas ke lokasi kemalangan  sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan mengenai insiden di KM54.6 lebuh raya tersebut pada jam 2.16 petang.

“Sejurus tiba di lokasi berkenaan, pemeriksaan lanjut mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iatu sebuah Perodua Axia dan kenderaan pacuan empat roda jenis Triton.

“Siasatan awal mendapati, semasa kejadian kedua-dua kereta Axia dan Triton itu dalam perjalanan dari Kapar menuju ke Kuala Selangor.

Pemandu Axia maut selepas dipercayai hilang kawalan dan merempuh kenderaan pacuan empat roda yang diberhentikan di tepi jalan lebuhraya Pantai Barat petang tadi.Ihsan Bomba Selangor

“Kenderaan Triton telah berhenti di tepi lebuh raya berkenaan atas urusan kerja sebelum pemandu Axia yang datang dari arah yang sama disyaki hilang kawalan dan merempuh kuat di belakang Triton tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Ahmad Mukhlis, akibat rempuhan itu, pemandu kereta Axia yang merupakan seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu dan didapati tidak sedarkan diri.

“Manakala pemandu dan menumpang iaitu dua perempuan tempatan yang berada di dalam kenderaan Triton 4×4 tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas tersebut,” ujarnya sambil menambah semua mangsa berusia antara 20-an hingga 30-an.

Ahmad Mukhlis berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong kereta Axia yang remuk teruk di bahagian hadapan bagi mengeluarkan pemandunya

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang turut bergegas ke lokasi nahas tersebut,” ujarnya.

Katanya, mmayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut di bawa ke hospital untuk proses bedah siasat. -MalaysiaGazette