KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) City terus kehilangan pemain berkaliber apabila pemain tengah, Akram Mahinan pula mengucapkan selamat tinggal selepas penyerang Romel Morales.
Menerusi coretan di laman Instagram miliknya, bekas pemain Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui meraih detik yang terindah sepanjang empat tahun bersama skuad City Boys sejak 2020.
Dia turut berterima kasih kepada pengurusan, barisan jurulatih, staf dan seluruh penyokong KL City yang selama ini turut membantu skuad itu meraih kejayaan.
“2023 adalah tahun yang mencabar buat saya dan mungkin juga kepada yang lain. Kami mengharungi saat turun naik bersama sebagai satu pasukan.
“Namun, ia tidak mematahkan semangat kami sebagai satu pasukan untuk terus memberikan yang terbaik. Kami mencipta banyak memori yang menarik bersama yang saya akan simpan dalam hati.
“Malangnya, saya berasa sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan dan peminat KL City. Terima kasih kepada jurulatih dan staf.
Akram pernah mengecapi beberapa detik manis bersama KL City terutama berjaya membantu kelab itu menamatkan penantian 32 tahun untuk menjulang Piala Malaysia selepas mengejutkan JDT 2-0 di final pada 2021.
Pemain berusia 30 tahun itu turut menjadi sebahagian daripada skuad City Boys yang mencipta sejarah muncul naib juara Piala AFC tahun lalu selain bergelar naib juara Piala FA musim ini.
Baru-baru ini, Morales yang baru sahaja mendapat status pemain naturalisasi mengumumkan perpisahan dengan KL City dan dia dikhabarkan bakal menyertai JDT. – MalaysiaGazette