PUTRAJAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerugian lebih RM2.42 juta dalam insiden kren tumbang di Stesen KTMB Rawang pada 13 Disember 2023.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, akibat insiden itu, pihaknya terpaksa menyediakan bas untuk membawa penumpang keluar dari lokasi tragedi.
“KTMB kehilangan perkhidmatan penumpang dan kargo berjumlah lebih RM2.42 juta.
“Kerana kegagalan ini, banyak kesulitan yang dihadapi KTMB memandangkan ianya mengganggu operasi tren yang melibatkan lebih 20,000 penumpang tren elektrik (ETS) dan Komuter,” katanya pada sidang media di pejabat kementeriannya di sini, hari ini.
Sebelum ini, lebih 40,000 pengguna perkhidmatan KTMB membabitkan ETS dan KTM Komuter Lembah Klang laluan KL Sentral – Tanjung Malim – KL Sentral terjejas selepas mengalami gangguan akibat sebuah kren pembinaan projek parkir bertingkat tumbang di Stesen Rawang, pada 13 Disember 2023.
Dalam kejadian pukul 5.53 petang itu, kren yang digunakan dalam pembinaan projek parkir tersebut dikatakan mengalami masalah apabila tanah di lokasi kejadian tiba-tiba mendap mengakibatkan jentera tersebut condong ke arah landasan.
Menurutnya, pihaknya memandang serius insiden itu dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengancam nyawa ribuan penumpang jika ia mengenai tren.
“Kementerian Pengangkutan melihat insiden ini sangat serius kerana kontraktor masuk ke kawasan larangan dan tidak dibenarkan.
“Apabila kemalangan berlaku kesannya cukup buruk, boom itu jatuh betul-betul atas landasan.
“Laporan lengkap telah pun dibentangkan kepada mesyuarat pasca Kabinet semalam,” katanya.
Beliau berkata, negara bernasib baik keranan insiden itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
“Saya merasakan bahawa negara bernasib baik pada hari itu kerana tiada tren yang melalui kawasan itu pada ketika itu.
“Bayangkan kalau ada satu tren baik komuter mahupun ETS lalu dekat kawasan itu.
“Apabila boom gate itu terjatuh, dan keretapi melanggar boom itu, apa yang berlaku ialah satu tragedi yang menimpa negara kita.
“Kalau satu tren bergerak dengan laju lalu di kawasan itu, langgar satu penghadang, itu ialah satu boom sudah tentu tren itu akan di rel dan mungkin satu tragedi besar berlaku,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, hasil siasatan insiden itu mendapati, Boom Crawler Kren bagi projek parkir bertingkat Perbadanan Aset Keretapi (RAC) patah dan terkena over headline (OHL) Landasan Naik.
“Ia telah menyebabkan gangguan operasi melebihi dua jam terhadap perkhidmatan tren penumpang KTMB, perkhidmatan ETS, Komuter dan tren barangan iaitu kargo,” katanya.
Tambahnya, susulan kejadian itu, pihak Department of Occupational Safety and Health (DOSH) telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Larangan serta-merta mengantung tugas kontraktor melibatkan SL PMA 35086 (crawler crane).
“Kontraktor terbabit tidak ditukar, sebaliknya tugas mereka digantung sehingga kini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette