PUTRAJAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang bermula Isnin ini (8 Jan) hingga 7 Mac akan berlangsung seperti yang dijadualkan meskipun Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
“Ia akan ikut tarikh yang dirancang, peperiksaan SPM akan diteruskan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan misi bantuan banjir Pantai Timur oleh Wanita PKR di sini hari ini.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bekerjasama dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri dalam soal persiapan banjir dan pascabanjir bagi memastikan tiada calon peperiksaan terjejas.
“Kita sudah pun ada pengalaman menguruskan calon SPM semasa banjir, mungkin kalau susah sedikit pun kalau ada isu mereka terputus jalan akibat banjir, itu pun kita dapat sokongan dan bantuan daripada agensi kerajaan yang lain untuk bawa calon ke pusat peperiksaan,” katanya.
Seramai 395,870 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.
Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan dilaksanakan bermula 8 hingga 11 Jan ini, manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17-23 Jan), Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Jan) dan peperiksaan bertulis (30 Jan hingga 7 Mac), sementara Ujian Amali Sains telah dilaksanakan pada 5 hingga 7 Dis lepas.
Menurut laporan banjir dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setakat 4 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan sedikit penurunan kepada 1,428 orang yang masih berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 1,485 orang di 13 PPS pada tengah hari tadi.
Kesemua 12 PPS yang masih beroperasi itu terdiri daripada enam PPS di Kota Tinggi yang menempatkan 727 mangsa, tiga PPS di Johor Bahru (359 mangsa), dua PPS di Mersing (265 mangsa) dan sebuah PPS di Kluang (77 mangsa).
Mengenai misi bantuan banjir tersebut, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata konvoi pertama melibatkan enam kenderaan pacuan empat roda akan berlepas esok dari Putrajaya ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Ketua-ketua wanita negeri telah bersedia untuk menguruskan bantuan ini yang akan sampai di pusat pengumpulan terlebih dahulu iaitu di Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu sebelum diagihkan kepada komuniti yang memerlukan,” katanya.
Menurut Fadhlina misi itu berjaya mengumpul pelbagai jenis barangan keperluan bernilai RM300,000 antaranya bakul makanan, tuala wanita, lampin pakai buang dan telekung dan akan diteruskan bagi fasa kedua dalam masa terdekat melibatkan alat bantuan persekolahan.- BERNAMA