Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan agar tidak merosakkan kepercayaan pelabur yang ingin datang ke negeri itu.

Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana Muhammad Sanusi meramalkan tahu tarikh kerajaan akan tumbang, selain kini timbul pula dakwaan Langkah Chow Kit.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah itu, Muhammad Sanusi sepatutnya mencontohi pemimpin senior seperti Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg setiap kali memberi kenyataan mengenai isu Kerajaan Perpaduan.

“Sepatutnya Muhammad Sanusi, saya ingin memberi nasihat agar contohi pemimpin politik senior seperti Premier Sarawak ditanya (sokong pembangkang) apabila menggunakan alasan ada pemimpin dari Sarawak dan Sabah.

“Apa pun yang didakwa, beliau fokus kepada pembangunan dan jangan buang masa. Ini perlu menjadi contoh kepada generasi pemimpin politik muda hari ini.

“Kita sepatutnya mengatur langkah membina dan membangunkan negara, bukan menjatuhkan negara,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Beliau ditemui MalaysiaGazette selepas majlis Program Jualan Agro Madani anjuran LPP di Lotus Ampang di sini hari ini.

Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden Amanah menambah, apabila Muhammad Sanusi mengeluarkan dakwaan tahu tarikh akan berlaku kerajaan ditukarkan, hakikatnya beliau bukan sahaja merosakan kepercayaan di luar dari Kedah tetapi juga rakyat negeri itu.

“Ini sebab polisi pelaburan dipegang oleh Kerajaan Pusat dan bila keadaan politik tidak stabil seperti dakwaan Sanusi, jadi pelabur tidak akan datang. Ini akan merugikan rakyat Kedah dari segi peluang pekerjaan.

“Saya nasihat hentikan permainan ini daripada 2023 yang mana Langkah Dubai tidak berjaya dan masuk 2024 ada Langkah Chow Kit.

“Selepas ini ada langkah apa lagi? Yang penting kami Kerajaan Perpaduan mahu langkah memajukan rakyat dan negara serta memperkasakan perpaduan serta memaju pembangunan,” katanya.

Mengulas keyakinan pembangkang Kerajaan Perpaduan akan ditukar pada bulan ini, Mahfuz tidak hairan dengan dakwaan itu kerana pembangkang telah memainkan isu tersebut sejak lepas Hari Raya Aidilfitri dan Ogos lalu.

“Mereka tidak ada satu isu untuk menarik dan meyakinkan rakyat dan penyokong-penyokong mereka yang mengatakan apa lagi yang mereka ada.

“Mereka hendak yakinkan penyokong tidak perlu lari kepada Kerajaan Perpaduan dan kekal dengan mereka,” katanya sambil memberitahu Kerajaan Perpaduan akan bekerja seperti biasa.

Baru-baru ini, Muhammad Sanusi mengesahkan wujud rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan Kerajaan Perpaduan untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, kelompongan dalam Akta Antilompat Parti yang dimanfaatkan Kerajaan Perpaduan akan digunakan PN yang mahu mengambil langkah sama.

Muhammad Sanusi juga yakin Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat ditumbangkan dalam tempoh terdekat ini. – MalaysiaGazette